"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Spekulasi rampasan kuasa Sabah: Sidang media Shafie jadi majlis minum teh

Malaysiakini 

Secara tiba-tiba, sidang media yang dipanggil oleh Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal awal hari ini telah dibatalkan.

Ini di tengah-tengah desas-desus mengenai rancangan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan Sabah pimpinan GRS dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Oriental Daily melaporkan wartawan tempatan yang dimaklumkan mengenai sidang media khas yang akan diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 4.30 petang kemudian diberitahu mengenai pembatalan acara itu pada jam 6.45 petang tadi.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat Warisan dikesan di hotel itu manakala makanan dan minuman dihidangkan kepada mereka yang hadir pada acara tersebut.

Sidang media itu kemudiannya menjadi majlis minum teh, lapor Oriental Daily.

Spekulasi mengatakan BN Sabah, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri bersama-sama parti lain, memutuskan untuk bertukar kem dan menyokong parti Shafie.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Shafie untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

Awal hari ini, semua Adun daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Air (Star) mengulangi sokongan mereka kepada Hajiji untuk terus memimpin negeri.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh Adun Pakatan Harapan berkata mereka tidak memberikan sebarang akuan berkanun menyokong mana-mana parti selepas 2020.

Semalam, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata gabungan itu bersedia untuk membuktikan Hajiji mendapat sokongan majoriti Adun.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 79 Adun - 73 dipilih dan enam dilantik.

Kerajaan Sabah kini mendapat sokongan 59 Adun, terdiri daripada 29 daripada GRS, BN (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu) dan bebas (satu).

Warisan mempunyai 19 wakil rakyat di DUN Sabah.

Tiada ulasan: