Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat terus mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, peluang PH menawan Kedah pada PRN tahun ini 50-50.
“Fokus mempertahankan tiga negeri pimpinan PH. Pimpinan utama PH meletakkan keyakinan tinggi itu berasaskan laporan semasa.
“Kami tekad menghantar suara pembangkang yang kuat, kalau pun tidak sampai menawan atau mengambil alih Kelantan dan Terengganu,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR.
Kerjasama PH-BN
Saifuddin berkata, setakat ini, belum ada perbincangan khusus mengenai kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) pada PRN tahun ini.
“Jawatankuasa Pilihan Raya akan buat beberapa persiapan dulu barulah dicadangkan langkah munasabah,” katanya.
Pada 2 Jan lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, partinya dan BN akan bekerjasama buat julung kali dalam PRN Pulau Pinang tahun ini, sejajar hubungan “politik perpaduan”.
Katanya, kerjasama dua parti itu akan diperincikan selepas mesyuarat sebelum Tahun Baharu Cina dengan Anwar yang juga pengerusi PH.
Lim berkata, jalinan kerjasama DAP dan BN sudah dibentuk di peringkat kerajaan pusat menerusi kerajaan perpaduan, malah ia juga dilaksanakan di peringkat kerajaan Perak dan Pahang.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan penambahbaikan Parlimen.
Katanya, mesyuarat itu bersetuju untuk meneruskan dasar melantik Ahli Parlimen pembangkang untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Apa pun, tunggu perbincangan dengan pihak pembangkang tentang perkara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan