Faisal Asyraf
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat hari ini dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan terdahulu pimpinan Perikatan Nasional.
Sumber berkata, lapan agensi kerajaan itu menerima “peruntukan besar” dari pakej rangsangan yang diluluskan kerajaan pada 2020 dan 2021.
Sumber itu berkata, susulan serbuan di lapan agensi kerajaan berkenaan, SPRM turut menyerbu sembilan syarikat “untuk mendapatkan dokumen tertentu”. Sembilan syarikat itu dipercayai “pembekal utama” lapan agensi terbabit.
Menurut sumber berkenaan, masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut, dan menambah siasatan masih “di peringkat pertama”.
“SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan,´kata sumber berkenaan.
SPRM sebelum ini berkata, siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.
Dalam kenyataan, SPRM berkata Kementerian Kewangan telah memperincikan butiran dana tersebut di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion, dan berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.
Susulan itu, SPRM dikatakan bakal memanggil bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan