FMT Reporters
Haqiem atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ikon permotoran, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya di dalam dua telefon bimbit, minggu lalu.
Haqiem atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya, lapor Utusan Malaysia.
Tertuduh yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok didakwa melakukan perbuatan itu pada 4.30 petang 9 Dis lalu di sebuah rumah di Rawang.
Pertuduhan terhadap Sadzri dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 menerusi seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 23 Feb depan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan