"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apakah Anwar dapat apa yang dihajatinya Isnin ini? Jika ya…

A KADIR JASIN

Seandainya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, diteruskan di Dewan Rakyat Isnin ini, ia akan mencipta sejarah. Segala petunjuk menjurus ke arah usul itu diteruskan.

Dalam sidang medianya yang pertama pada 24 November lalu, Anwar berkata, usul itu adalah daripada kerajaan sendiri. Tujuannya bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan yang beliau ketuai.

Anwar merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yasin, yang meragui keabsahan jumlah sokongan yang diterimanya.

Seingat sayalah, inilah kali pertama dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri meminta diadakan undi percaya (confidence vote) terhadapnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri tidak perlu undi percaya kerana mempunyai majoriti yang sahih atau takut kalah dalam kes Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob. Kedua-dua mereka dilantik menjadi Perdana Menteri semata-mata atas kekuatan akuan berkanun (statutory declaration/SD) yang tidak pernah didedahkan untuk pengetahuan umum.

Anwar pun pernah beberapa kali menggunakan kaedah SD untuk tujuan politik. Jadi elok sangatlah beliau tidak terus menggunakannya. Usul undi percaya lebih berani, telus dan demokratik.

Lebih daripada itu, ia membayangkan keyakinan Anwar terhadap sokongan ahli Dewan Rakyat kepadanya. Pendapat umum menjurus ke arah beliau memperoleh sokongan yang cukup kuat.

Laporan media yang memetik Anwar berkata, beliau yakin memperoleh sokongan dua pertiga berdasarkan ikrar ketua-ketua parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan beberapa buah parti lain.

Hari ini, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH. Semua gabungan diwakili oleh pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor. PH diwakili Anwar sendiri sebagai Pengerusinya.

Boleh jadi Anwar akan mendapat sokongan dua pertiga. Tetapi baik juga kita menerima berita ini dengan berhati-hati sikit kerana pernah, pada masa lampau, Anwar telah melebih sebut (overstated) keupayaannya.

Ditakdirkan Anwar memperoleh apa yang dihajatinya Isnin ini, kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan menjadi lebih kukuh sambil mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang berani meletakkan nasibnya di tangan kawan dan lawan di dalam dewan walaupun tidak diperlukan.

Tiada ulasan: