"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 1]

Saari Sungib

Salam Sejahtera Tuan Guru,

Masihkah Tuan Guru ingat pada akhir 1982 atau awal 1983, kita telah bersama-sama ke Pulau Kapas untuk mencandat sotong.

Zaihan yang memberitahu saya bahawa Tuan Guru - jika ke laut - paling yang disukai ialah mencandat sotong. Kalau ke hutan pula paling digemari ialah memburu ayam hutan.

Kami sangat gembira dapat hadir ke rumah yang sederhana dan berpeluang mendengar pelbagai cerita daripada Tuan Guru. Khabarnya di situ jugalah tapak tanah asas yang menjadi tempat tinggal ayahanda dan bonda Tuan Guru sehingga mereka kembali ke rahmatullah.

Kami seronok dengan kesungguhan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru. Daripada cerita yang kami dengar sendiri daripada Tuan Guru, memang menjadi hasrat ayahanda Tuan Guru untuk Tuan Guru balik ke Kampung Rusila agar dapat meneruskan dan mengembangkan lagi kuliah-kuliah pengajian di situ.

Ayahanda dan bonda Tuan Guru adalah anak jati Kampung Rusila yang sangat prihatin tentang pembangunan masyarakat dan kampung itu. Bahkan sesungguhnya, ayahanda Tuan Guru, Haji Awang Mohamad, bukan hanya seorang tok guru kampung di Rusila, malah sejak muda lagi dikenali sebagai seorang yang cakna tentang perkembangan politik dan ekonomi umat Islam.

Daripada pengkisahan yang panjang itu, saya masih ingat Tuan Guru ada mengatakan bahawa ayahanda Tuan Guru sudah terlibat bersama tokoh-tokoh besar ketika itu seperti Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan Dr Burhanuddin al-Helmi untuk menggerakkan parti Islam pertama di Tanah Melayu, iaitu Hizbul Muslimin di Gunong Semanggol, Perak.

Tahniah Tuan Guru, kami amat bersyukur dapat hidup sezaman dengan generasi pejuang tulen yang menambat jati diri dan patriotisme terhadap prinsip-prinsip perjuangan mempertahankan Tanah Melayu.

Pengasas PAS Dr Burhanuddin al-Helmi .

Ia merupakan satu-satunya angkatan dalam ummah ini yang dihalakan untuk penyatuan segala unsur yang terkandung daripada kekuatan bangsa, agama dan negara.

Hari itu ketika menyambut kami di muka pintu rumah, Tuan Guru kelihatan serius dengan hanya senyuman sekilas dan pantas di bibir.

Pada masa itu pun sudah ada pelajar-pelajar kita di AS, Kanada dan Australia mengadu bahawa Tuan Guru terlalu sedikit menginfaqkan eye-contact dan senyuman mesra ketika berjabat tangan dengan mereka.

Kata mereka, sewajarnya pandangan mata dan senyuman Tuan Guru mengisi makna mahabbah atau kasih sayang sesama kita.

Saya datang bersama dua orang rakan saya yang baru balik dari United Kingdom setelah tamat belajar.

Lawatan ke rumah Tuan Guru diatur oleh Zaihan Daud yang merupakan anak seorang pemimpin PAS, Daud Abdul Samad yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 1959 hingga 1961.

Pada hari itu pada mulanya Tuan Guru hampir-hampir mahu membuka cerita tentang kenapa PAS kehilangan jawatan menteri besar di Terengganu semasa itu.

Ia melibatkan penipuan dan pengkhianatan.

Baru sedikit Tuan Guru dan Ustaz Alias Othman mula bercerita tentang perkhianatan itu, Tuan Guru kelihatan sebak dan terus memberhentikan cerita perihal perbuatan khianat itu.

Zaihan adalah rakan seuniversiti dengan saya, bahkan untuk melonjakkan aktivisme pelajar Malaysia di Birmingham, kami tinggal di King’s Heath, iaitu kawasan komuniti pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut pelbagai program sarjana muda, sarjana dan pascasarjana di universiti-universiti bandar raya kedua terbesar United Kingdom itu.

[Bersambung]

SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tiada ulasan: