BORHAN AHMAD
Ekoran kemenangan besar Pas dan rakannya dalam Perikatan Nasional (PN), pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai parti itu kini menjadi sorotan media.
Ramai yakin, sebagaimana Umno cuba mengekal momentum kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor dengan mendesak diadakan pilihan raya umum segera, Pas juga akan cuba mengekalkan momentum mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu dengan membubarkan DUN yang dikuasai segera.
Bagaimanapun, isu ini cuba disejukkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar apabila berkata, Pas hanya akan membincangkan isu ini selepas musim tengkujuh nanti iaitu selepas Februari.
“Belum ada keputusan dan tak bincang apa-apa lagi cuma kita sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana (politik).
“Tahun depan walau macam mana sekalipun akan bubarlah cuma bulan belum pasti, mungkin lebih awal dari bulan lima (Mei) sebab sudah terbubar dengan sendiri.
“Saya percaya dengan perkembangan politik, kemungkinan besar bukan hanya Kelantan tapi beberapa negeri lain juga akan bubar DUN lebih awal dari Mei, itu jangkaan kita,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tarbiah Dun Panchor, Kota Bharu semalam, lapor Harian Metro.
Pas dan PN menang besar di tiga negeri yang dikuasai Pas apabila menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan hanya terlepas satu kerusi di Kedah dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini.
Pas juga menang besar di Parlimen Padang Serai apabila pilihan raya diadakan di situ baru-baru ini namun kalah di DUN Tioman di Pahang apabila calon BN menang di situ.
Ekoran itu, Pas dikatakan akan membubarkan DUN ketiga-tiga negeri itu lebih awal untuk mengekalkan momentum yang ada.
Namun bagi Nik Amar, pilihan raya tidak boleh diadakan segera kerana masih musim tengkujuh lagi.
Sebelum ini, Pas membuat keputusan tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan Parlimen kerana ia termasuk dalam musim tengkujuh dan bimbang banjir berlaku ketika kempen apatah lagi ketika hari mengundi.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat untuk membubarkan DUN secara serentak dengan lima negeri yang lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata langkah itu bakal diambil susulan perbincangan secara tidak rasmi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri membabitkan lima negeri yang lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, pemimpin lima negeri iaitu membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai pendapat yang sama.
“Alhamdulillah, mereka semua (pemimpin negeri) nampak bersetuju dan kita akan bersama membuat keputusan (pembubaran Dun).
“Namun begitu ia membabitkan peringkat Menteri Besar dan Ketua Menteri, tapi kita ada Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Presiden serta rakan lain juga ada pemimpin utama yang perlu dirujuk.
“Bagi kami di peringkat awal ini telah memberi kata putus bahawa kita akan bersama (bubar Dun serentak) bagi mengadakan PRN secara bersama. Mesej ini kita akan sampaikan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan