"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Norhisham ditemui dalam keadaan memeluk sebatang pokok

Hazira Ahmad Zaidi

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: "Selepas ayah melaungkan azan ketika Maghrib semalam dan pada masa sama, ibunya turut memanggil nama Norhisham dan pagi ini dia ditemui selamat sambil berpeluk pada sebatang pokok," kata Rosliza Ghani @ Hassan, 32.

Rosliza adalah ibu saudara kepada Norhisham Saifudin, 18, yang ditemui jam 10 pagi tadi yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir pada petang Selasa lalu.

Rosliza berkata, ketika ditemui anak saudaranya itu berada dalam keadaan lesu serta tidak bermaya selain mengalami luka dan calar di seluruh anggota badan yang kini sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Anak saudara saya tidak mengingati apa yang berlaku kepada dirinya sebaliknya bertanya semula kepada kami apa yang terjadi ke atas dirinya sepanjang tempoh empat hari dia hilang di dalam hutan.

"Bagaimanapun, anak saudara saya sempat menceritakan, sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencarinya di dalam hutan, dia boleh melihat orang ramai dan anggota keselamatan sedang mencarinya.

"Pada ketika itu dia cuba menjerit meminta tolong, namun suaranya tidak didengari sehinggalah pada malam tadi datuknya melaungkan azan dan pada masa ibunya menjerit memanggil nama anaknya berulang kali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan hilang di Kampung Temalir, Selasa lalu, selepas dipercayai melarikan diri ke dalam hutan.

Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencarinya, namun tidak juga ditemui sebelum membuat laporan polis.

Seramai 42 anggota pasukan keselamatan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain bantuan penduduk kampung dan juga Unit Anjing Pengesan

Rosliza berkata, sepanjang misi pencarian dijalankan mereka sekeluarga tidak putus-putus berdoa semoga Norhisham ditemui selamat dan doa kami dimakbulkan Allah SWT.

"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan juga orang kampung yang bertungkus lumus mencari anak saudara saya sehinggalah dia ditemui pada pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, remaja berkenaan ditemui anggota penyelamat pada 10 pagi pada jarak 200 meter (m) dari lokasi hilang.

Katanya, ketika dijumpai mangsa sedang berdiri dan tidak berpakaian selain mengalami luka serta calar di seluruh badan.

Tiada ulasan: