"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Permohonan sertai NGO ‘Muafakat Nasional’ kini dibuka

FMT Reporters

PETALING JAYA: Permohonan menyertai NGO baharu, Muafakat Nasional, yang ditubuhkan bekas pemimpin Umno, Annuar Musa kini dibuka kepada orang ramai.

“Sepatutnya minggu hadapan. Namun, atas permintaan ramai, kita awalkan permohonan dalam talian,” tulisnya dalam catatan Facebook, malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat permohonan di muafakatnasional.org.my.

‘Muafakat Nasional’ merupakan nama sama merujuk kepada kerjasama antara Umno dan PAS, yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada PRU14.

Annuar kemudian menyatakan beliau akan “mengaktifkan” NGO Muafakat Nasional dengan dirinya sebagai presiden, demi berperanan merapatkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ummah serta mengukuhkan sistem politik, berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Bulan lalu, pembantu Annuar menjelaskan Muafakat Nasional bukannya parti politik, tetapi ia berdaftar sebagai NGO dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Minggu lalu, Annuar dipecat Umno susulan kritikan terhadap presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti musuh pada PRU15. Annuar yang juga menjadi Ahli Parlimen Ketereh sejak sekian lama, tidak dicalonkan mempertahankan kerusi disandang.

Tiada ulasan: