SITI NUR ZAWANI MISCON
Berlegar di media sosial satu himpunan atau protes ‘Gelombang Hitam’ didakwa bakal digerakkan pada 18 dan 19 Disember ini tepat ketika menjelang hari pengundian usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Desas desus tersebar itu mula mencetuskan tanda tanya kerana masih belum terlihat mana-mana penyokong kumpulan yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 menggunakan logo hitam di sosial media.
Difahamkan, bantahan secara senyap itu bagi menunjukkan tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
Protes itu antara lain meminta orang ramai supaya memakai pakaian hitam atau menukar lencana media sosial mereka kepada hitam.
Ideanya adalah untuk mencipta naratif palsu dan berbahaya bahawa majoriti orang terutamanya orang Melayu, tidak menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
“Gelombang Hitam #tidakpercaya. Protes rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri Ke-10. Berbentuk aman dan tidak menganggu ketenteraman awam. Ia bukan protes di jalanan. Ia adalah silent protest dengan melakukan beberapa perkara menunjukkan tidak menyokong perdana menteri”.
Antara intipati Gelombang Hitam yang kami temukan seperti dikongsi akaun TikTok Mandatkini, adalah seperti berikut:
Gelombang hitam ini akan dilakukan pada 18 dan 19 Disember 2022. Ini selari dengan undi percaya yang akan berlaku di Parlimen pada 19 Disember untuk Perdana Menteri Ke-10
Gelombang Hitam menunjukkan tanda rakyat tidak percaya kepada Perdana Menteri Ke-10 dengan melakukan perkara-perkara tersebut pada 18 dan 19 Disember.
Tatacara;
Berpakaian serba hitam sambil melakukan aktiviti harian.
Hitamkan profile sosial media dengan cara meletakkan latar belakang berwarna hitam di semua sosial media masing-masing.
Letak tanda pagar tidak percaya di tengah-tengah profile
Ubah profile hitam di sosial media Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp.
Muat naik status di sosial media dengan cara memuat naik latar belakang berwarna hitam di semua sosial media masing-masing.
Buat hantaran latar belakang hitam dengan kapsyen #tidakpercaya di sosial media Facebook, Instagram, dan TikTok.
Dalam video sama yang dimuatnaik di akaun itu, mereka juga mengajak orang ramai menyertai protes senyap itu, mendakwa bahawa Gelombang Hitam tidak menyalahi undang-undang kerana ia tidak melibatkan isu agama, kaum dan hasutan.
Ia juga dikatakan tidak mengancam ketenteraman awam dan tidak melibatkan perarakan jalanan.
Bagaimanapun melihat reaksi kebanyakan pengguna media sosial, mereka mendakwa agak bimbang dan mengkritik bantahan yang bakal digerakkan.
Mereka juga menyelar tindakan itu kerana mendakwa isu 13 Mei yang tersebar di TikTok turut dimulakan pihak pro- Perikatan Nasional.
“Noted. 18 & 19hb kena pakai baju warna lain selain hitam. Sebab takut terpakai baju hitam tanpa sengaja. Dah lah banyak baju hitam,” tulis yang lain.
“Kalau betul seperti ura-ura …mereka ibarat melanggar undang-undang dan menderhaka kepada YDPA kerana kerajaan yang tertubuh adalah kerajaan yang sah dan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang dan tidak menindas mana-mana pihak,” komen pula yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan