"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak dapat elak pemimpin tinggalkan Bersatu Sabah

Jason Thomas

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, pemimpin Bersatu Sabah akan meninggalkan parti itu akhirnya disebabkan sentimen kuat rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan menerajui kerajaan negeri.

Terdahulu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri, Hajiji Noor hari ini mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti itu dan berhasrat menubuhkan parti baharu.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania, berkata langkah itu sebahagian daripada wawasan lebih luas untuk semua parti di Sabah menjadi parti tempatan dan menubuhkan blok Borneo bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Gambaran besar ialah semua parti (Sabah) mahu menubuhkan blok Borneo dan untuk berbuat demikian, mereka memerlukan parti berpangkalan di Sabah.

“Mereka tidak boleh berbuat demikian jika mereka sebahagian daripada parti nasional.”

Bersatu Sabah ialah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai PAS dan parti lain, termasuk Gerakan.

Walaupun GRS menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan, Bersatu merupakan pembangkang kerana menjadi sebahagian daripada PN.

Sehari selepas pilihan raya umum ke-15 pada bulan lalu, Hajiji dilaporkan berkata, beliau menerima panggilan daripada rakan sejawatan di Sarawak, Abang Johari Openg dan pemimpin lain bersetuju “membincangkan kerjasama lebih erat sebagai blok Borneo”.

Idea blok Borneo disuarakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan pada 2018.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) ketika itu, mendiang James Jemut Masing menyokong cadangan itu yang menganggap ia patut dipertimbangkan.

Seorang lagi penganalisis, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah bersetuju langkah meninggalkan Bersatu Sabah tidak dapat dielakkan susulan keputusan GRS menyertai kerajaan perpaduan tidak akan diterima baik oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Katanya, Hajiji turut mengumumkan keputusan mereka meninggalkan Bersatu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat malam tadi.

“Berdasarkan senario politik semasa, mereka tahu tiba masanya untuk meninggalkan Bersatu.

“Hajiji mempunyai hubungan sangat baik dengan Abang Johari dan mereka mempunyai persefahaman dalam pelbagai perkara seperti blok Borneo.

“Untuk jangka panjang, mereka tentunya perlu meninggalkan Bersatu. Sentimen adalah kuat untuk parti tempatan di Sabah sekarang, seperti di Sarawak. Jadi, tiba masanya untuk mengambil langkah ini.”

Tiada ulasan: