FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan beliau “merancang sesuatu” bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini.
Beliau dipetik Malaysiakini memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebaran “fitnah” berkenaan.
Dakwaan itu tersebar gara-gara ketidakhadirannya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 8 Dis lalu.
“Kalau nak fitnah orang pun, biarlah munasabah sikit. Kalau dalam rekod imigresen saya tak keluar negara, maknanya saya dalam negaralah.
“Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah,” katanya.
Selain Ismail, seorang lagi naib presiden Umno, Mahdzir Khalid juga tidak menghadiri mesyuarat tersebut.
Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu tidak dikenali mendakwa Ismail dan pemimpin Umno yang tidak hadir mesyuarat MKT Umno pada malam itu berada di Jakarta dan “sedang merancang sesuatu”.
Menggelarnya “Langkah Jakarta”, Muhyiddin juga dikatakan turut berada di republik itu.
Sementara itu, Ismail berkata, beliau berada di Bera makan nasi daun pisang bersama seorang wartawan veteran ketika mesyuarat MKT diadakan. Tetapi, lokasinya tidak didedahkan.
Pada sebelah malamnya pula, kata Ismail, beliau berada di kawasan Parlimennya di Bera untuk perasmian perlumbaan kereta pacuan empat roda terkenal, Rainforest Challenge International (RFC).
Ini bukanlah kali pertama Ismail berdepan dakwaan sedemikian. Sebelum ini, beliau dan beberapa pemimpin BN turut didakwa menghadiri pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain.
Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem – antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH dan yang tidak bersetuju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan