"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ANNUAR MUSA TIADA NILAI TAMBAH KEPADA PAS

Shahbudin Husin

Bekas pemimpin UMNO yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Annuar Musa akhirnya memilih Pas sebagai wadah baru bagi meneruskan perjuangannya.

Sesuai dengan kemasukannya menjelang PRN enam negeri tidak lama lagi, beliau juga dilaporkan bersedia untuk bertanding lagi jika dipilih sebagai calon oleh parti barunya itu.

Tentulah dalam hal ini, Annuar bermaksud untuk bertanding di Kelantan, bahkan beliau pasti lebih gembira jika diletakkan sebagai calon di Dun dalam kawasan Ketereh di mana beliau merupakan Ahli Parlimen di situ sebelum ini.

Kawasan paling terbuka untuk Annuar bertanding ialah di Dun Kok Lanas yang kini diwakili Alwi Che Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang baru selepas Annuar dipecat daripada UMNO.

Tambahan lagi, Alwi yang merupakan “protege” Annuar serta memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh sebelum ini dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politiknya telah pun mengumumkan untuk bersara, sekaligus tidak bertanding lagi pada PRN akan datang ini.

Siapa yang untung sebenarnya bila Annuar masuk Pas?

Pas untung atau Annuar yang untung?

Melihat sejarah Pas di Kelantan dan jenama parti itu diketahui sudah cukup kukuh di kalangan pengundi negeri tersebut, sejujurrnya kemasukan Annuar langsung tidak memberi nilai tambah kepada Pas.

Untuk mengekalkan penguasaannya di Kelantan, tanpa Annuar pun, Pas sebetulnya mampu melakukannya secara sendirian.

Ada atau tidak ada Annuar bersama Pas, Pas tetap dengan keunggulannya yang tersendiri di bumi Kelantan.

Malah, sejak Pas menawan Kelantan pada 1990 dan Annuar beberapa kali dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kelantan, dijadikan menteri lagi, tetapi tidak pernah sekali pun beliau berjaya menggugat penguasaan Pas.

Sejak 1990 sehingga sekarang, selama 33 tahun, Pas berjaya berkuasa tanpa henti di Kelantan melalui barisan kepimpinan sedia adanya di mana di waktu yang sama, Annuar adalah berada di pihak yang mahu menjatuhkan Pas sepanjang tempoh tersebut.

Makna kata, kalau Pas tak mahu terima Annuar sebagai ahlinya pun boleh sebenarnya kerana tiada rekod menunjukkan beliau mampu membawa nilai tambah kepada parti itu.

Cuma tinggal lagi, Pas ini parti yang berjiwa besar dan terbuka untuk menerima sesiapa saja sebagai ahlinya.

Tidak cukup dengan itu, Pas juga sangat berjiwa besar dengan tiada masalah memilih penghijrah baru seperti Annuar sebagai calonnya dalam pilihan raya.

Dengan itu, kemungkinan Annuar dipilih sebagai calon Pas pada PRN akan datang ini bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan sangat mungkin menjadi kenyataan.

Yang untung tidak lain hanyalah Annuar kerana dapat menjadi wakil rakyat dan bergelar Yang Berhormat semula.

Pas tiada untung apa-apa, sebaliknya dengan memberi laluan kepada Annuar sebagai calon, ia akan menyebabkan ada pula di kalangan pemimpin Pas sendiri yang berputih mata kerana tergendala cita-cita mahu bergelar wakil rakyat.

Selain tidak memberi nilai tambah kepada Pas, jika menang sebagai Adun pula, Annuar juga tersangat sukar untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri, jauh sekali untuk berangan-angan jadi Menteri Besar Kelantan, manalah tahu kalau-kalau parti itu ingin memanfaatkan pengalaman luasnya sebagai menteri sebelum ini untuk dibawa menerajui negeri.

Sebagaimana semua orang sedia maklum dan rasanya rakyat Kelantan pun belum lupa, Annuar pada 1993 ketika berlaku kemelut Istana Kelantan, telah menobatkan Tengku Ibrahim Petra sebagai Sultan Kelantan.

Berdasarkan tindakan itu, amat mustahil pihak Istana Kelantan sekarang sedia untuk merestui Annuar bagi dilantik sama ada sebagai Exco atau pun Menteri Besar Kelantan.

Pas juga pasti tidak lupa mengenai perkara tersebut dan jalan selamat bagi parti itu ialah tidak mencadangkan namanya untuk apa-apa jawatan dalam kerajaan negeri.

Ertinya, kalau menang sebagai Adun nanti, Annuar tidak akan jadi apa-apa, melainkan sekadar wakil rakyat biasa saja.

Pas dan kerajaan negeri pun tidak dapat apa-apa kelebihan daripada kemasukan beliau itu.

Mudah kata, beliau tidak memberi apa-apa nilai tambah, bukan saja kepada Pas sebagai parti politik, tetapi juga kepada kerajaan negeri yang diterajui parti itu.

Lainlah jika Annuar sedia dicalonkan di Negeri Sembilan misalnya, sesuai dengan pengumuman kemasukannya ke dalam Pas diumumkan di Seremban dan kemudian berjaya pula menjatuhkan kerajaan PH sekarang, maka barulah beliau betul-betul ada nilai tambah.

Tetapi, berjiwa besarkah Annuar untuk bertanding di luar daripada Kelantan? – ShahbudinHusin 12/06/2023.

Tiada ulasan: