"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PANAS!!! Suspek disiasat SPRM meninggal dunia di Putrajaya

Hariz Mohd & Wang Ping

Seorang lagi suspek yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meninggal dunia hari ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku di ibu pejabat agensi penguat kuasa terbabit di Putrajaya.

Suspek itu merupakan seorang lelaki berusia 50-an dan berada dalam tahanan SPRM kurang dari 24 jam selepas dia diberkas.

Butiran mengenai insiden itu belum jelas manakala polis pula menutup mulut.

Bagaimanapun Malaysiakini berjaya mendapatkan pengesahan kejadian tersebut daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menyatakan suspek meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Menurut Azam, lelaki itu ditahan malam semalam bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan aktiviti pelombongan mineral tanpa lesen di Pahang.

Katanya lelaki terbabit merupakan seorang daripada tiga suspek yang ditahan SPRM.

“Semasa siasatan pagi ini, pegawai kami mendapati lelaki itu tidak sihat dan dia terus dibawa ke hospital.

“Suspek terbabit kemudian meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Azam tidak mengulas lanjut namun memberi jaminan SPRM akan bekerjasama penuh dengan polis yang menyiasat insiden tersebut.

Menurut Azam pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan terbabit akan memberikan keterangan mereka kepada polis berhubung kejadian itu.

SPRM juga, katanya, telah menyerahkan butian berkaitan termasuk semua rakaman kamera litar tertutup yang boleh membantu siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, difahamkan mayat terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurut sumber, bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan pagi esok.

Tiada ulasan: