"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Inspektor Khoo' menipu lagi, 2 kerani akaun rugi lebih RM650,000

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kuching: Dua kerani wanita di Miri kerugian hampir RM650,000 selepas terpedaya dengan panggilan telefon daripada sindiket 'Phone Scam' yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa pertama wanita berusia 62 tahun yang bertugas sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Miri menerima panggilan daripada sindiket berkenaan pada 17 April lalu.

Menurutnya, pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendakwa mangsa terbabit dalam penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

"Mangsa kemudiannya disambungkan kepada polis dari Kota Kinabalu, Sabah dan berbual dengan beberapa pegawai termasuk 'Inspektor Khoo' dan 'Sarjan Wong'.

"Dalam perbualan bersama individu terbabit, selain dimaklumkan terbabit dalam penyebaran berita palsu, akaun mangsa juga didakwa terbabit dalam kes jenayah di Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya membuka akaun baru dan memindahkan wang miliknya ke dalam akaun itu untuk siasatan.

"Mangsa yang ketakutan kemudian membuka satu akaun bank di Miri dan memindahkan wang dari akaun simpanan, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun yang baru dibukanya.

"Mangsa juga menyerahkan butiran perbankan berserta kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas semakan dengan pihak bank mendapati terdapat 31 transaksi pemindahan wang keluar ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali pada 18 April hingga 5 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM496,962.

Menurut Mohd Azman, semalam seorang lagi wanita yang bertugas sebagai kerani akaun sebuah syarikat swasta juga di Miri turut menjadi mangsa penipuan panggilan telefon itu.

Mangsa berusia 59 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendakwa mangsa membuat transaksi penggunaan wang yang meragukan kepada akaun bank lain.

"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk memberikan maklumat akaun bank seperti nombor akaun, nama pengguna dan kata laluan.

"Pada hari yang sama (15 Jun) mangsa menerima pemberitahuan berlaku pengeluaran wang sebanyak RM49,999 dan mangsa diarahkan supaya membuat pengesahan mengenai pengeluaran wang itu dan diberitahu wang itu dipindahkan sementara sehingga akaun bank selamat sebelum wang itu akan dipindahkan semula ke akaunnya," katanya.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan semakan dengan pihak bank mendapati 15 transaksi pemindahan wang berjumlah RM149,892 dari akaun miliknya ke akaun atas nama individu tidak dikenali.

Justeru, Mohd Azman, mengingatkan orang ramai agar tidak melayan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

Tiada ulasan: