"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayi lelaki baru lahir ditemukan atas reban ayam

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Bayi malang itu ditemukan seorang lelaki berusia 51 tahun ketika melihat reban ayam miliknya, kira-kira 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan tanpa sebarang pakaian di atas reban ayam milik seorang penduduk kampung berkenaan.

"Bayi seberat tiga kilogram kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis sedang berusaha mengesan suspek kejadian ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: