"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyamun 'kelaparan'

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
RAKAMAN CCTV mendapati tiga lelaki bertopeng memecah masuk sebuah rumah untuk mencuri makanan. FOTO Ihsan Polis
Kuching: Sekumpulan tiga penyamun memecah masuk sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, di sini, Sabtu lalu hanya untuk mencuri makanan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, hasil dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan mendapati, tiga suspek bertopeng dikesan menceroboh bahagian dapur kira-kira 6 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit mencuri pelbagai jenis makanan dari rumah berkenaan.

"Hasil maklumat risikan, kira-kira 5.20 pagi semalam pasukan Task Force Counter AggresiveTeam (CAT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu.

"Hasil semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahsmon berkata, saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, polis turut menemui sembilan peralatan memecah rumah antaranya tukul, pemotong besi, playar, pemutar skru, pengumpil, gunting dan parang.

"Ketika ini polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas," katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda serta sebat.

Tiada ulasan: