"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Wan Ji: Haji Hadi wajib berhenti daripada takfir

Wan Ji Wan Hussin

Dalam sidang parlimen baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi pesanan berkenaan bahaya amalan takfir.

Walaupun dalam ucapan tersebut tidak disebut berkenaan PAS, tidak semena-mena ahli parlimen PAS dari Jasin, YB Ustaz Zulkifli Ismail yang merupakan salah seorang Ulama PAS telah bangun menyerang menteri KDN terbabit.

Beliau menuduh ucapan menteri KDN itu sebagai mengarut dan fitnah.

Apabila diminta agar dia berikan bukti di bahagian mana mengarut dan fitnah terbabit, ternyata ulama PAS terbabit tidak dapat memberikan sebarang bukti.

Semasa sibuk dengan Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini, ada satu ucapan Ustaz Zulkifli Ismail yang menyatakan bahawa akidah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah hanya daripada PAS sahaja.

Selain PAS, digambarkan mereka seperti bukan daripada ahli al-Sunnah wa al-Jamaah sebagai aliran mazhab yang menjadi rujukan rakyat Malaysia.

Terkini, tersebar pula satu kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Ustaz Zulkifli Ismail dalam buku beliau yang bertajuk “Ancaman bahaya sekularisme.”

Dalam buku itu, Zulkifli melakukan amalan takfir pada tulisan beliau di muka surat 291:

“Mematuhi dan mengikuti perlembagaan tersebut (persekutuan) yang merupakan undang-undang ciptaan manusia sebagai ganti undang-undang Allah adalah perbuatan syirik yang membatalkan syahadah...” (Zulkifli Ismail, 2002).

Amalan takfir pemimpin PAS bukan perkara baru. Mungkin pada tulisan ini dibawakan beberapa fakta berikut.

Pada tahun 2005, menerusi buku “Hadharah islamiyyah bukan islam hadhari”, di muka surat 61, Haji Hadi mentakfirkan Umno dan perlembagaan persekutuan dengan beliau menulis: “Adapun pengertian islam mengikut acuan perlembahaan persekutuan mengikut semangat Umno adalah agama yang difahami oleh barat, bukannya al-Din yang ditegaskan oleh al-Quran.” (Abdul Hadi awang, 2005).

Tuduhan ahli Umno murtad

Dalam buku yang sama pada muka surat 36, presiden PAS itu menuduh Umno atas nama Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Presiden Umno pada masa itu, iaitu Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sama dengan konsep Din Ilahi (raja akhbar agung), sedangkan dalam muka surat 10 dan 11, Abdul Hadi anggap Din Ilahi sebagai menyadurkan Islam dengan agama Hindu.

Dalam tesis Phd tahun 2013 bertajuk “PAS dan era kepimpinan Ulama, 1982 – 2004” ada didedahkan takfir Haji Hadi terhadap Umno dengan beliau menyelar Umno dengan menyatakan bahawa fahaman kebangsaan Umno adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan bahawa Anwar Ibrahim (ketika itu salah seorang pemimpin Umno) telah gagal mengislamkan ahli Umno. (Kamarul Zaman, 2011).


Amanat Haji Hadi.
Dalam tesis yang sama pada muka surat 179 ke 181, dijelaskan bahawa seorang ulama PAS yang merupakan timbalan pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan bagi sesi 1978-1981, iaitu Ustaz Mustafa Abu Bakar memfatwakan bahawa ahli-ahli Umno adalah orang-orang murtad.

Bahkan pada tahun yang sama juga, keluar Amanat Haji Hadi yang terkenal dengan takfir yang dua tahun kemudiannya, iaitu tahun 1983, berlaku pilihanraya kecil di DUN Selising yang pihak jawatankuasa Penerangan Badan perhubungan PAS Kelantan mengakui bahawa mereka menyebarkan ribuan poster Amanat Haji Hadi dalam tulisan jawi dan rumi sebagai isu utama kempen dalam pilihanraya tersebut.

Amalan takfir PAS itu turut berlaku dalam ucapan dasar PAS dalam muktamar PAS kali ke-31, April tahun 1985.

Dalam ucapan terbabit terdapat tuduhan firaun bagi mereka yang meletakkan perlembagaan ciptaan manusia sebagai undang-undang tertinggi negara.

Gambar fail, peristiwa Memali.
Dengan doktrin takfir yang diperkenalkan oleh PAS sehingga membawa kepada kempen PRN Selising dan dalam ucapan dasar muktamar PAS, hampir tujuh bulan kemudian, iaitu pada bulan November tahun 1985, tercetus tragedi pertumpahan darah yang dikenali dengan tragedi Memali.

Pada 7 april 1981, Haji Hadi ada memberikan satu ucapan di Banggol Peradong, Kuala Terengganu yang terkenal dengan Amanat Hadi.

Dalam akhbar berita harian pada disember tahun 1984, Haji Hadi mempertahankan kandungan amanat beliau tersebut. Beliau ulangi pertahankan amanat tersebut dalam laporan utusan Malaysia pada Januari tahun 1986. Malahan sehingga hari ini, beliau tidak pernah tarik amanat tersebut.

Kandungan Amanat terbabit mengandungi unsur takfir terhadap sesiapa yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan oleh Suruhanjaya Read itu.

Gambar fail, peristiwa Memali.
Kandungan amanat tersebut, tidak jauh beza dengan satu tulisan tokoh teroris dari Mesir bernama Muhammad Abd al-Salam Faraj yang mempengaruhi pemikiran Khalid Islambuli yang bertindak membunuh Presiden Mesir ke-3, Anuar Sadat pada tahun 1981.

Dalam buku bertajuk “al-Faridhah al-Ghaibah”, Muhammad Abd al-Salam Faraj menulis: “Sesungguhnya negara ini berhukum dengan hukum kafir, walaupun majoriti penduduknya orang Islam."

"Hukum-hukum yang tertinggi terhadap orang Islam pada hari ini adalah hukum-hukum kafir, bahkan ia adalah undang-undang yang telah ditetapkan oleh orang kafir dan terlaksana kepada orang Islam" (Muhammad Imarah, 2008)

Bendung fikrah takfiri

Ternyata fikrah takfiri amat bahaya. Kalau di era salaf terdahulu, lahir gerakan khawarij yang mengkafirkan sesama muslim sehingga sanggup mengumumkan pembunuhan terhadap Saidina Ali atas alasan, kononnya Saidina Ali itu sudah terkeluar daripada Islam.

Ternyata, fikrah takfir ini memberi kesan bahaya yang hampir sama di era moden, iaitu apabila kita dapati terdapat tragedi Memali pada tahun 1986, dan tragedi pembunuhan presiden Mesir, Anuar Sadat pada tahun 1981.

Demi memastikan keamanan negara, fikrah ini wajar dibendung dan tidak boleh dibiarkan berada di Malaysia

Tiada ulasan: