"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh warga Myanmar 3 ditahan

Bernama

BUTTERWORTH: Polis menahan tiga lelaki termasuk warga asing bagi membantu siasatan berhubung seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam kejadian di sebuah rumah, di sini awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU), Mohd Asri Shafie, berkata tiga lelaki yang berusia 28 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di Butterworth dan Permatang Pauh, dekat sini bermula 10 malam Sabtu hingga 2 pagi semalam.

“Pihak polis pada mulanya menerima laporan dibuat oleh seorang pegawai perubatan di bahagian kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang memaklumkan seorang lelaki 33 tahun telah dibawa ke situ dan mengalami kecederaan kritikal di bahagian perut.

“Pegawai perubatan itu telah memberi rawatan kepada mangsa namun lelaki tersebut gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada 2.03 pagi, bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan luka tikaman pada abdomen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki tersebut iaitu dua majikan yang merupakan pemilik kilang perabot dan seorang rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut.

Asri berkata siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengaku mencederakan mangsa sebelum suspek melarikan diri untuk bersembunyi.

Bagaimanapun dia berjaya ditangkap.

Katanya, mangsa dan suspek dikatakan pada mulanya minum bersama-sama sebelum mereka mabuk dan berlaku pertengkaran mulut seterusnya lelaki itu ditikam rakan sekerjanya.

“Susulan penahanan lelaki itu, polis merampas dua telefon bimbit, sebilah pisau, dua botol minuman keras dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122.

Tiada ulasan: