"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amaran Muhyiddin pada 6 MP sokong Anwar boleh beraya dulu, tunggu lepas raya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberi amaran tindakan terhadap enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diambil selepas Aidilfitri.

“Mereka boleh beraya dulu selepas itu kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan itu,” katanya dalam video di Facebook.

Muhyiddin menepis dakwaan mengatakan pindaan itu tidak akan beri kesan pada wakil-wakil rakyat terbabit.

“Mungkin mereka tak faham atau sengaja nak cari alasan untuk menyatakan sesuatu nak sedapkan diri sendiri,” katanya.

Beliau menambah Bersatu mempunyai pasukan peguam yang meneliti penguatkuasaan pindaan itu nanti.

“Kita nak pastikan segala bentuk tindakan kita ambil akan mengikut aturan,” katanya.

Perhimpunan agung khas Bersatu pada 2 Mac lepas meluluskan pindaan pada perkara 10 perlembagaan parti, yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak lain, bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, bagaimanapun berkata pindaan itu tidak terpakai bagi mereka kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menetapkan ia hanya berkuat kuasa pada 1 April, sedangkan mereka menyatakan sokongan kepada Anwar sekitar Oktober hingga Januari lepas.

Selain Suhaili, Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Pada Selasa, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, berkata Bersatu perlu memaklumkan secara rasmi kepada speaker Dewan Rakyat untuk menentukan status enam Ahli Parlimen berkenaan.

Tiada ulasan: