"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Israel ditahan: Dua warga Turkiye, seorang warga Georgia antara tangkapan baharu

AZMI NORDIN

KUALA LUMPUR – 12 lagi individu ditahan pihak polis berkait kes penahanan seorang lelaki warga Israel yang memiliki enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, 27 Mac lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kes ini 16 orang termasuk suspek utama Shalom Avitan, 38, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu lelaki israel itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

Tambah beliau, hasil risikan, siasatan dan maklumat yang diterima dari orang awam membawa kepada serbuan beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara.

“Sejurus penahanan Shalom dan tiga lagi suspek warga tempatan, polis kemudian menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.

“Susulan daripada siasatan yang dijalankan, pasukan polis kemudian menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, ada diantara tangkapan diperoleh hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto dipercayai berkait dengan pembayaran senjata api antara suspek dan pasangan suami isteri tempatan.

Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan pasangan suami isteri yang ditahan kerana mengedar enam senjata api kepada Shalom disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Sementara itu, kesemua 12 suspek baharu yang ditahan direman bermula semalam manakala sebahagian lagi ditahan reman bermula hari ini.

“Kesemua mereka dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari,” katanya.

Tegas Razarudin, pada masa ini PDRM juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif dan tujuan sebenar suspek utama memiliki enam pucuk pistol.

Terdahulu, media melaporkan Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepadanya, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Ia berikutan kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 boleh dihukum mati.

Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Tiada ulasan: