"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gerhana Matahari Isnin depan bakal berlaku 4 minit sahaja

MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Fenomena gerhana matahari penuh yang dijangka berlaku di Amerika Utara pada Isnin ini tidak mungkin akan menyebabkan Hari Raya Aidilfiri disambut awal mahupun menyebabkan bumi bergelap tiga hari seperti didakwa segelintir pihak.

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Ts. Dr. Roslan Umar berkata, gerhana matahari yang hanya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira empat minit di beberapa negeri di Amerika Syarikat dan Kanada berkenaan tidak akan memberi kesan kepada cerapan anak bulan bagi penentuan 1 Syawal di negara ini.

“Antara syarat utama penentuan hilal (anak bulan) ialah matahari telah terbenam sedangkan sewaktu gerhana penuh itu berlaku waktu masih siang tetapi cuma matahari dilindungi sebentar oleh bulan yang berada pada kedudukan selari dengan bumi.

“Apatah lagi fenomena gerhana matahari penuh tersebut hanya boleh dilihat di benua Amerika Utara sekali gus tiada kena-mengena dengan negara kita yang terletak di garisan Khatulistiwa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan kononnya bumi bakal bergelap selama tiga hari dari Isnin hingga Rabu ini disebabkan fenomena gerhana matahari penuh berkenaan.

Segelintir pihak juga mengemukakan teori kononnya Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Rabu ini bakal disambut awal disebabkan fenomena alam terbabit.

Roslan berkata, fenomena gerhana bulan penuh itu juga mustahil menyebabkan seluruh bumi bergelap selama tiga hari seperti didakwa.

Jelas beliau, dakwaan itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya bumi tidak lagi mengorbit mengelilingi matahari seperti kelaziman.

“Gerhana matahari merupakan fenomena alam biasa yang boleh berlaku antara dua hingga lima kali setahun melibatkan kawasan tertentu.

“Ia hanya berlaku beberapa minit malah Malaysia juga dijangka akan mengalami gerhana matahari penuh pada 12 Ogos 2026,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan menasihatkan orang ramai agar mengamal sikap “tabayyun” iaitu selidik atau semak dahulu sebelum sebar seperti dalam seperti dalam surah Surah al-Hujurat: ayat 6. Orang ramai juga jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan bukan-bukan tidak sahih sebaliknya mengambil peluang menikmati fenomena alam kurniaan Allah itu dengan ilmu sains. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: