"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu diminta memaklumkan kepada speaker untuk tentu status 6 Ahli Parlimen

Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR: Bersatu diminta memaklumkan secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk menentukan status enam Ahli Parlimennya yang menyokong perdana menteri, walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan pindaan pada perlembagaan parti itu.

Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor berkata status enam wakil rakyat itu kemudiannya akan ditentukan berdasarkan undang-undang.

“Kena maklumkan kepada speaker, baru proses boleh berjalan. Kena diangkat kepada speaker, kemudian akan diputuskan berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Kena ada hitam putih, bukan dengan cakap-cakap di luar,” katanya sambil menambah, parti itu tidak perlu menunggu sidang Dewan Rakyat untuk memaklumkan perkara itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan pakaian dan sumbangan kepada pelajar OKU SK Pendidikan Khas (SKPK) Kampung Baru.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin memberitahu FMT kedudukan keenam-enam Ahli Parlimen itu “belum selamat” dan parti akan menunjukkan bukti untuk mengesahkan mereka melanggar perlembagaan parti dan perlu mengosongkan kerusi.

Enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar terdiri daripada Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Perhimpunan agung khas Bersatu pada 2 Mac lepas meluluskan pindaan pada perkara 10 perlembagaan parti, yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak lain, bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Suhaili bagaimanapun berkata, pindaan itu tidak terpakai bagi mereka kerana JPPM menetapkan ia hanya berkuat kuasa pada 1 April, sedangkan mereka menyatakan sokongan kepada Anwar sekitar Oktober hingga Januari lepas.

Tiada ulasan: