"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mati selepas makan kek hari jadi

Agensi
MANVI ketika memotong kek pada 24 Mac lalu. FOTO Agensi
MANVI ketika memotong kek pada 24 Mac lalu. FOTO Agensi
New Delhi: Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas makan kek hari jadinya di Punjab, utara India, baru-baru ini.

Polis sedang menyiasat kejadian itu, yang berlaku selepas keluarga kanak-kanak itu membuat pesanan kek coklat secara dalam talian dari sebuah kedai roti di bandar Patiala.

Tidak lama selepas mereka memakannya, seluruh keluarga jatuh sakit dengan gejala keracunan makanan seperti loya dan muntah.

Datuknya, Harban Lal berkata, kanak-kanak yang dikenali sebagai Manvi, mula muntah selepas dia memakan kek, pada lewat petang 24 Mac lalu.

Katanya, Manvi berasa dahaga dan melaporkan ketidakselesaan akibat kekeringan pada mulutnya.

"Dia tidur malam itu tetapi keadaannya bertambah teruk selepas bangun keesokan harinya. Keluarga kami segera membawanya ke hospital," katanya.

Katanya, cucunya itu diberi bantuan oksigen dan menjalani elektrokardiogram, ujian diagnostik yang mengukur aktiviti jantung, tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Keluarga itu mendakwa, kek itu tercemar dan mereka membuat laporan polis terhadap pemilik kedai roti itu.

Keluarga itu juga menyatakan, nama kedai roti pada bil dan kedai sebenar tidak sepadan. Mereka juga menuduh jabatan kesihatan tempatan tidak mengendahkan isu itu.

Sementara itu, pegawai polis Sarfaraz Alam berkata, sampel daripada kek dihantar untuk ujian dan mereka masih menunggu keputusan.

"Kami juga memantau konsep dapur awan ini kerana nama kedai roti itu terus berubah di Zomato," katanya.

Zomato, aplikasi penghantaran makanan di India masih belum mengulas isu itu.

Jurucakap Zomato dalam satu kenyataan yang dikongsi The Independent berkata, mereka menzahirkan simpati dan sedih atas insiden itu serta sudah menyahsenaraikan restoran itu daripada platform Zomato selain akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Tiada ulasan: