"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua Pesawat Airbus A340 Bernilai Ratusan Jutaan Dollar Diseludup Dari Lithuania ke Iran

DSA

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak-pihak tidak dikenali telah berjaya menyeludup keluar dua buah pesawat komersial Airbus A340 milik syarikat penyewa Gambia (leasing company) Macka Invest, menerbangkannya daripada Lithuania ke Iran.

Kedua-dua buah pesawat komersial itu sepatutnya terbang daripada Lithuania ke Sri Lanka dan Filipina tetapi penerbangan kedua-dua pesawat komersial bernilai jutaan dollar Amerika itu dipesongkan ketika berada di udara bagi membolehkannya mendarat di Iran.

Laporan media di Lithuania menyatakan bahawa sebuah daripada pesawat Airbus A340 itu mendarat di Lapangan Terbang Mehrabad manakala sebuah lagi pesawat komersial milik Macka Invest itu mendarat di Lapangan Terbang Konarak, Charbahar di selatan Iran.

“Dengan ini syarikat penerbangan Iran, Mahan Air berjaya memperolehi dua buah pesawat komersial dan mengelak daripada sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara itu akibat program nuklearnya.”

Kedua-dua pesawat komersial itu bertindak mematikan transponder mereka sebaik sahaja ia memasuki ruang udara Iran bagi mengelak mana-mana mengenalpasti kedudukan terakhir pesawat Airbus A340 itu.

Sebuah lagi pesawat Airbus A340 milik Macka Invest yang sepatutnya terbang ke Filipina dikatakan masih berada di Lithuania selepas ia tidak dibenarkan terbang ke destinasinya kerana membawa pelbagai jenis alatganti pesawat,   menurut pengarah Lapangan Terbang Siauliai di Lithuania Aurelija Kuezada kepada media tempatan.

“Pesawat itu sepatutnya terbang ke Filipina, tetapi kita menjangkakan ia boleh mendarat di Iran juga dan kita tidak mampu menghalangnya. Oleh kerana itulah, kita tidak membenarkannya terbang apabila kita mengetahui pesawat komersial yang pertama itu telah mendarat di Iran,” kata beliau.

Menurut pihak berkuasa Lithuania, penerbangan dua buah pesawat komersial Airbus A340 itu di luar ruang udara Lithuania itu tidak menimbulkan sebarang kemusykilan dan adalah tanggungjawab pihak berkuasa negara-negara lain.

Kejadian yang sama juga berlaku pada 2022 apabila empat buah pesawat komersial Airbus A340 berlepas daripada lapangan terbang di Johannesburg ke Uzbekistan tetapi apabila tiba berhampiran ruang udara Iran telah menutupkan transponder dan dilaporkan mendarat di Iran.

Disebabkan sekatan ekonomi akibat pembangunan nuklearnya, syarikat-syarikat penerbangan komersial Iran tidak dibenarkan membeli pesawat-pesawat komersial dan alat-alat ganti pesawat itu.

Sekatan ekonomi terhadap Iran telah menyebabkan industri penerbangan komersial berhadapan dengan krisis, dengan lebih daripada 500 buah pesawat komersial terbengkalai dan tidak dapat terbang disebabkan ketiadaan alat ganti.

Pakar-pakar penerbangan komersial negara itu menyatakan bahawa Iran memerlukan 400 buah pesawat komersial baru, tetapi sekatan ekonomi menyebabkan ia tidak dibenarkan membeli pesawat-pesawat baru selain menghalang ia melakukan kerja-kerja naiktaraf dan penyelenggaraan terhadap pesawat itu.

Sekatan ekonomi dikenakan terhadap Iran termasuk menghalangnya daripada membeli pesawat-pesawat komersial baru serta alat-alat ganti telah menyebabkan peningkatan insiden kemalangan udara di negara itu.

Menurut laporan Aviation Safety Network, sejak sekatan ekonomi dikenakan terhadap Iran pada 1979 apabila Revolusi Islam mengambilalih pentadbiran negara itu, insiden-insiden udara telah menyebabkan 1,755 orang terkorban.

Syarikat penerbangan kebangsaannya, Iran Air dilaporkan memiliki 335 buah pesawat tetapi separuh daripadanya tidak dapat terbang kerana tidak mempunyai alat-alat ganti. — DSA

Tiada ulasan: