"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penemuan pergelangan tangan: Gaduh rebut kawasan dadah punca kejadian

Bernama

Pergaduhan melibatkan tiga lelaki dengan 20 lelaki lain berhampiran jalan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan di Ipoh menjawab kes penemuan pergelangan tangan manusia di lokasi kemalangan kenderaan di lokasi terbabit semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berkaitan pergaduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap tiga lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu pada 11.03 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa pertama mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, mangsa kedua putus pergelangan tangan kiri manakala mangsa ketiga putus urat di tapak tangan kiri.

“Mereka (mangsa) dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dia berkata berdasarkan keterangan yang direkodkan, ketiga-tiga lelaki itu menyatakan diserang oleh kira-kira 20 lelaki yang memakai topeng dengan bersenjatakan kayu dan parang.

Menurut Abang Zainal Abidin, pergaduhan itu dipercayai akibat perebutan kawasan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Susulan itu, polis telah menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 37 tahun disyaki suspek kes berkenaan bagi membantu siasatan. Kesemuanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok (hari ini) untuk permohonan reman,” katanya sambil menambah polis sedang mengesan suspek lain yang masih bebas.

Dia memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Syafiq Mohd Ghazali menerusi talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pergelangan tangan manusia terputus dijumpai berhampiran lokasi sebuah kereta terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan Hospital Bahagia Ulu Kinta dekat Tanjung Rambutan pagi semalam.

-Bernama

Tiada ulasan: