"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parlimen Tajikistan lulus RUU larang pemakaian hijab, 'pakaian asing'

Bharianonline

DUSHANBE: Parlimen Tajikistan meluluskan rang undang-undang (RUU) melarang pemakaian hijab dan 'pakaian asing' serta amalan ziarah sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha oleh kanak-kanak.

Tajikistan, negara Asia Tengah yang bersempadan dengan Afghanistan di bawah perintah Taliban, bersedia mengenakan larangan hijab selepas Dewan Utama Parlimen negara itu meluluskan RUU berkenaan pada 19 Jun lalu.

RUU itu diluluskan ketika sesi ke-18 Dewan Tertinggi Parlimen, Majlisi Milli, yang dipengerusikan oleh ketuanya, Rustam Emomali, lapor Asia-Plus.

Dalam RUU berkenaan, Majlisi Milli melarang penduduknya memakai 'pakaian asing' yang tidak mencerminkan budaya atau tradisi Tajikistan.

Selain itu, dua amalan tradisi kanak-kanak dikenali sebagai 'idgardak', di mana mereka mengunjungi rumah di kejiranan untuk bersalaman ketika dua perayaan Islam paling penting iaitu sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, turut dilarang.

Pada 8 Mei lalu, Dewan Rendah Parlimen negara itu, Majlisi Namoyandagon, meluluskan RUU berkenaan.

Ia menyasarkan pakaian tradisional wanita Islam, khususnya hijab dan tudung kepala.

Perkembangan itu berlaku selepas Majlisi Namoyandagon meluluskan pindaan kepada kod pelanggaran pentadbiran.

Mengikut pindaan baharu, pelanggaran undang-undang boleh dikenakan denda yang tinggi.

Bagaimanapun, kod pentadbiran sebelum ini tidak menyebut pemakaian hijab atau pakaian agama lain sebagai satu pelanggaran peraturan.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda daripada 7,920 somoni (kira-kira RM3,298) untuk individu, hingga 39,500 somonis (RM16,492) untuk kakitangan undang-undang, lapor Perkhidmatan Tajik Radio Liberty.

Selain itu, pegawai kerajaan dan pihak berkuasa agama boleh dikenakan denda yang jauh lebih tinggi bagi kesalahan sama iaitu masing-masing 54,000 somoni hingga 57,600 somoni (RM22,618 hingga RM24,031) jika bersabit kesalahan.

Sekatan rasmi Tajikistan terhadap hijab berlaku selepas bertahun-tahun larangan itu wujud secara tidak rasmi, malah negara itu juga secara tidak rasmi mengharamkan lelaki berjambang lebat.

Pada 2007, Kementerian Pendidikannya mengharamkan pakaian berunsur Islam serta skirt pendek ala Barat untuk pelajar dan kemudian memperluaskan larangan itu kepada semua institusi awam.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Tajikistan melancarkan kempen untuk menggalakkan pemakaian pakaian kebangsaan Tajikistan, seperti mana disebut dalam 'Buku Panduan Pakaian Yang Disyorkan Di Tajikistan', dikeluarkan pada 2018.

Pada 2017, sebilangan pengguna telefon bimbit menerima mesej daripada kerajaan menggesa wanita memakai pakaian kebangsaan Tajikistan. -AGENSI

Tiada ulasan: