"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penulis terkenal Israel kata, 'Israel tak pernah dan tak akan menang di Gaza'

AGENSI

BAITULMAQDIS: Penulis terkenal Israel, Gideon Levy, mencemuh rancangan Tel Aviv untuk mengisytiharkan kemenangan di Gaza dalam beberapa hari lagi selepas kononnya berjaya menghapuskan Briged Al Qassam, sayap tentera Hamas.

Beliau antara lain menyifatkan pengumuman mengenai kejayaan menghapuskan Hamas adalah rancangan bertujuan membolehkan pengunduran kebanyakan pasukan Israel dari Gaza.

Pengunduran itu, katanya, bagi memberi laluan untuk pemindahan pasukan berkenaan ke sempadan utara, bertujuan melancarkan satu lagi kempen 'kemenangan dan gemilang' di Lubnan seperti dilakukan di Semenanjung Gaza.

Levy menerusi akhbar haluan kiri Israel, Haaretz, mendakwa kemenangan itu akan bertukar lebih mengerikan daripada sebelumnya, selain menegaskan perkara paling utama adalah untuk keluar dari Gaza.

"Setiap hari yang berlalu hanya menyebabkan Israel lebih tenggelam ke dalam kancah Gaza. Ini kerana, perkara paling penting (bagi Israel ketika ini) adalah meninggalkan Gaza.

"Israel pasti menyembunyikan semua yang berlaku di dalam dan luar serta perkara menghalang pengisytiharan kemenangan, jika hampir mencapai kemenangan total dengan menghapuskan Hamas di Rafah.

"Ini jelas menunjukkan Israel tidak pernah dan tak akan mencapai kemenangan di Gaza, selain perlu berpura-pura dengan plot yang tidak seharusnya berlaku itu," katanya.

Sementara itu, Levy secara sinis berkata, Israel lebih baik berpura-pura menang walaupun menerima serangan ketenteraan, selain menegaskan Hamas memenangi perjuangan secara diplomatik, sosial, moral dan ekonomi.

Katanya, keadaan Israel pada akhir peperangan jauh lebih buruk berbanding permulaan, menggambarkan keadaan itu 'tidak perlu' dan tiada justifikasi bagi keadaan terbabit.

Beliau berkata, perang diukur menerusi hasil dan dapatan peperangan di Gaza diketahui lebih awal iaitu pembabitan yang sia-sia, menjadikan Israel sebagai negara terbuang, 'tidak berguna'.

Levy juga mengkritik naratif berterusan Israel yang mendakwa tidak mempunyai pilihan, sama ada selepas serangan pada 7 Oktober lalu, mahupun sekarang.

Tegasnya, terdapat tiga pilihan, sama ada Hamas terus memerintah Semenanjung Gaza, walaupun ia adalah pilihan lemah dan memerlukan pemantauan rapi atau kedua Gaza akan menjadi seperti Somalia.

Pilihan ketiga, Semenanjung Gaza akan terikat secara kekal kepada pendudukan Israel, selain mengakui tiada pilihan keempat.

Beliau antara lain cenderung kepada pilihan pertama, selain menggambarkan keadaan itu sebagai kejahatan lebih kecil, berbanding situasi semasa yang berlaku di Gaza.

Levy juga menyimpulkan, sudah tiba masanya untuk Israel keluar dari Gaza melalui perjanjian bersama Hamas, bertujuan menamatkan perang dan pembebasan tebusan serta ribuan tahanan Palestin.

Beliau berkata, Tel Aviv perlu segera memeterai perjanjian itu, selain rakyat Israel perlu mengetepikan kebanggaan dan menanggung penghinaan daripada Hamas yang kekal berkuasa.

Tiada ulasan: