"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rempuh kereta polis, lelaki ditembak di perut

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Seorang penjenayah ditembak di perut selepas bertindak agresif merempuh kereta peronda polis.

Dalam kejadian jam 4.40 petang Jumaat lalu, suspek dikatakan mengancam nyawa anggota polis yang cuba menahannya berhampiran sebuah gerai di Serendah di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim, Perak mengekori kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza berwarna ungu mencurigakan.

"Anggota polis kemudian cuba menahan kenderaan suspek yang berhenti di hadapan sebuah gerai makan.

"Bagaimanapun suspek bertindak ganas merempuh kedua-dua kenderaan polis sehingga membahayakan nyawa anggota," katanya tadi.

Ahmad Faizal berkata, polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian mendapati suspek mengalami kecederaan di perut akibat terkena tembakan.

"Suspek dibawa ke Hospital Selayang dan keadaannya kini stabil.

"Semakan mendapati suspek berusia lingkungan 30-an itu mempunyai 14 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya

Ahmad Faizal berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi IPD Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: