Agensi
WARGA emas dikenali sebagai Phon dihalau oleh isteri dan anak tiri. FOTO Ihsan Agensi.
Buriram, Thailand: Warga emas bukan sahaja diusir keluar dari rumahnya di daerah Satuek oleh isteri dan anak tirinya.
Lebih menyedihkan, dia terpaksa berjalan sejauh 500 kilometer (km) berkaki ayam dan sehelai sepinggang untuk kembali ke kampung halamannya di Phon Phisai, lapor portal Thaiger..
Lelaki itu yang dikenali sebagai Phon berkata, dia sudah tinggal bersama isterinya di Satuek selama lebih 13 tahun.
Menurut Phon, dia yang bekerja sebagai buruh am dan tukang kimpal, serta turut memberikan kesemua pendapatan diperoleh kepada isterinya.
Bagaimanapun, pada pertengahan Disember tahun lalu anak lelaki isterinya berpindah ke rumah mereka dari Bangkok.
Apabila anak lelakinya tiba, dia berasa tidak dihargai dan dipaksa keluar daripada rumah.
Phon meninggalkan rumah pada 28 Disember tanpa membawa apa-apa barang atau wang, selain bergantung kepada balai polis sebagai tempat berteduh manakala kuil untuk mendapatkan makanan.
Perjalanannya ke kampung halaman juga menjadi lebih sukar kerana kecederaan kaki akibat kemalangan kereta sewaktu zaman mudanya.
Tanpa pakaian atau wang, dia merayau selama 13 hari berjalan terhincut-hincut sambil menangis di sepanjang perjalanan.
Seorang penduduk tempatan yang memandu lori tebu kemudian menawarkan untuk memberi tumpangan ke daerah Chaiwan, yang mana dia kemudiannya dibawa ke hospital oleh pihak polis.
KhaoSod melaporkan, Phon berniat untuk bertemu semula dengan cucunya dan berazam untuk menjadi seorang sami setelah sampai ke destinasinya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan