Anne Muhammad
PETALING JAYA: Tidak puas hati keputusan pemilihan parti mungkin menjadi punca ‘kecelaruan’ dalam organisasi Pemuda Bersatu sehingga seorang daripada exco meletak jawatan portfolio diberi Ketua Muhammad Hilman Idham, kata penganalisis.
Semalam, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin mengakui meletak jawatan ketua biro profesional dan sukarelawan Pemuda Bersatu kerana mempunyai perbezaan dengan Hilman namun kekal sebagai exco, kedudukan dimenangi pada pemilihan, Oktober lalu.
Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Azmi Hassan, berkata perkembangan itu menunjukkan pergolakan masih belum reda walaupun Presiden Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa setiap sayap dalam Bersatu ‘bertaut semula’ selepas pemilihan berakhir.
Menurutnya, bukan rahsia pemilihan itu menyaksikan perpecahan Bersatu kepada beberapa kem membabitkan pemimpin tertentu bagi menguasai jawatan.
“Seharusnya bila dikatakan kedua-dua kem ini mempunyai wakil masing-masing, keadaan sepatutnya lebih reda (tiada pertikaian berkait keputusan pemilihan).
“Saya berpendapat situasi menang-menang itu tidak sepatutnya bawa masalah tetapi sekarang kita lihat ada exco Pemuda Bersatu letak jawatan (portfolio lantikan ketua),” katanya kepada FMT.
Azmi juga tidak menolak kemungkinan Pemuda Bersatu yang pemilihannya disifatkan paling panas akan terus bergolak jika isu dalaman membabitkan Hilman dan Wan Meor tidak diselesaikan segera.
“Kalau pemimpin atasan tak tunjuk kepimpinan, lagi banyak pergolakan boleh jadi.
“Sudah pasti lemahkan Bersatu dan secara tidak langsung Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU kerana tiada kesatuan,” katanya.
Kedua-duanya dilihat bertikam lidah dengan Hilman meminta Wan Meor ‘berhenti mengajar’ cara menguruskan organisasi itu selepas ditegur exco terbabit.
Adun Gombak Setia itu turut menggesa Wan Meor menyerahkan segala dokumen pentadbiran ketika menjadi setiausaha kerja Pemuda Bersatu di era pentadbiran Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengepalai sayap terbabit.
Pada 2 Nov lalu, Wan Meor meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memberi penjelasan lanjut dan telus mengenai asas bantahan mendorong ‘perubahan’ keputusan pemilihan sayap itu terutama kemenangan Hilman ke atas pencabarnya Akmal Zahin Zainal Zahir dengan kelebihan 170 undi.
Sementara itu, Lau Zhe dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pula melihat pergolakan perkara biasa kerana apa yang berlaku di pusat akan turut menjejaskan sayap.
“Persoalannya adakah ia akan sampai menggugat kestabilan Pemuda Bersatu?
“Setakat ini ia berlaku secara dalaman, belum merebak satu tahap menjejaskan impak terhadap undi PRU16,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan