Malaysiakini
Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya Umno susulan isu titah adendum yang melibatkan Najib Razak.
Khairy yang dipecat Umno dua tahun lalu menuduh Menteri Undang-undang Azalina Othman Said bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.
“Saya percaya peguam negara mungkin...mesti memaklumkan kepada menteri bertanggungjawab (menteri Wilayah Persekutuan) di dalam Lembaga (pengampunan). Oh by the way kita dapat ini juga.
"Berbalik kepada Umno, ini menteri kena jawab kenapa menteri Umno bersubahat menyorok adendum ini, ini menteri undang-undang, apa nama dia, Azalina Othman Said,” katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.
"Surat kepada peguam negara (AG), tak mungkin AG tak maklum kepada… menteri undang-undang," tambah Khairy lagi.
Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata Azalina memberitahu Dewan Rakyat peguam negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya.
Pun begitu, Khairy membalas dengan sinis, “saya rasa rakyat Malaysia tidak dilahirkan semalam.”
"Kamu, sebagai menteri undang-undang, ada hubungan dengan AG (peguam negara). Mungkin secara teknikal, boleh mengatakan AG hanya melaporkan kepada atau terus memaklumkan perdana menteri.
"Tetapi seperti mana yang saya tahu sebagai seorang bekas seorang menteri of course the AG has a relationship ataupun profesional relationship," kata bekas ketua Pemuda Umno itu lagi.
Khairy juga mendakwa mustahil kabinet tidak mengetahui perkara ini, mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa (gambar atas) memberi penjelasan.
“Saya percaya kedua-dua menteri ini bertanggungjawab, tetapi mereka berdiam diri.
“Saya salut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.
“…walaupun dia pernah berkata ia khabar angin - mungkin dia diarahkan oleh perdana menteri dalam usaha untuk melemparkan Saifuddin ke bawah bas - untuk mengatakan bahawa Jabatan Penjara tidak menerima tambahan itu.
"Sekurang-kurangnya Saifuddin ada keberanian untuk memberi kenyataan," tambahnya.
Semalam, Zaliha berkata mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung Najib akan kekal sulit.
Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memohon semakan kehakiman untuk menguatkuasakan titah bekas Yang di-Pertuan Agong, memerintahkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Khairy menegaskan isu titah adendum ini boleh menghakis keyakinan penyokong Najib terhadap Umno, sambil mempertikaikan kelewatan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam menyokong afidavit titah adendum.
"Sudah tentu sekarang ini kem presiden (Zahid) mengembar-gemburkan bahawa presidenlah orang pertama yang buat afidavit titah adendum ini.
"Itu baru beberapa bulan selepas cerita adendum ini," katanya.
"Penyokong Najib melihat tiada ada kesungguhan daripada Umno Putrajaya, Umno tingkat 38, untuk membawa isu ini kepada conclusion lah,” katanya lagi.
Khairy turut menuduh Zahid cuba meletakkan dirinya sebagai penyelamat sama ada kepada Anwar Ibrahim atau Najib.
“Sama ada saviour kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Bossku (Najib), dia (Zahid) tetap saviour,” tegasnya.
Titah adendum itu mengurangkan hukuman penjara 12 tahun ke enam tahun dan pengurangan denda RM210 juta menjadi RM50 juta terhadap Najib.
Bekas perdana menteri itu disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan