FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata Umno tidak akan masuk kali kedua ke ‘lubang biawak’, merujuk kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada 2019.
Dakwanya, ini kerana ada usaha di pihak pembangkang untuk menghidupkan semula gabungan itu yang dirujuknya sebagai MN 2.0.
“Ia membuka jalan terbentuk kerajaan baru. Sebab itu secara tiba-tiba mereka bernada lembut pasal isu ‘Bossku’.
“Sila lupakan kalau itu objektif mereka kerana Umno tidak akan masuk kali kedua ke lubang biawak. Pokoknya kamu ‘the loser’,” katanya merujuk pembatalan perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak oleh Umno di Istana Kehakiman, Putrajaya.
MN ditubuhkan pada September 2019 ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan Pakatan Harapan pada PRU14, Mei 2018.
Ia terkubur pada 2022 selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, dan pada masa sama mahu parti itu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.
Dalam pada itu, Puad mendakwa PAS dan Bersatu mempunyai niat tersendiri dalam penganjuran perhimpunan solidariti Najib, Isnin lalu.
“PAS dan Bersatu kecewa Umno membatalkan perhimpunan solidariti Najib. Niat mereka ialah menjadikannya sebagai ‘perhimpunan Melayu terancam’. Itu naratif yang mereka mahu mainkan.
“Mereka mahu kejayaan perhimpunan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) berulang,” dakwanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, membidas tindakan Umno tidak meneruskan himpunan itu yang bertujuan menyatakan solidariti kepada Najib.
Himpunan itu diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Tuan Ibrahim berkata, beliau ‘hairan’ dengan solidariti Umno terhadap ‘pemimpin kesayangan’ parti itu kerana selepas bertegas untuk berhimpun dan bersolidariti bersama Najib, Umno memaklumkan untuk tidak meneruskan himpunan.
Pada 3 Jan lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan parti itu tidak meneruskan himpunan tersebut atas prinsip menjunjung titah Agong dan mematuhi gesaan ketua polis negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan