"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki didakwa cederakan teman wanita dengan menyimbah minyak panas

Omar Ahmad
bhnews@bh.com.my
Kumarasan menunjukkan gambar suspek yang ditahan kerana menyimbah minyak panas dan memukul teman wanita bersama dadah yang ditemui ketika tangkapan. - Foto OMAR AHMAD
Kumarasan menunjukkan gambar suspek yang ditahan kerana menyimbah minyak panas dan memukul teman wanita bersama dadah yang ditemui ketika tangkapan. - Foto OMAR AHMAD
ISKANDAR PUTERI: Bekas pekerja kilang ditahan kerana mencederakan teman wanitanya dengan menyimbah minyak panas dan memukul menggunakan wayar pengecas telefon.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 29 tahun berhubung kejadian pada 27 Disember lalu.

Katanya, mangsa mendakwa dikasari teman lelaki yang dikenali sejak setahun lalu pada 3.30 petang, 21 Disember lalu ketika berada di rumah di Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini.

"Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri menahan lelaki tempatan berumur 24 tahun dan semakan mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah terdahulu.

"Ujian saringan air kencingnya turut mendapati dia positif dadah, malah suspek dipercayai pengedar dadah secara kecilan," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri hari ini.

Kumarasan berkata, polis turut merampas beberapa barangan, termasuk telefon bimbit, seutas wayar pengecas warna putih dan beg galas warna hitam, selain menemukan dua peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 65.7 gram dan sepeket ganja seberat 15.9 gram.

Beliau berkata, suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 3 Januari lalu terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama.

"Sebutan semula kes telah ditetapkan 4 Mac depan," katanya.

Tiada ulasan: