"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengarah agensi ditahan dalam siasatan kes pemeriksaan kenderaan

FMT Reporters

Pengarah sebuah agensi di bawah kementerian antara lapan individu yang ditahan SPRM hari ini.

Lapan ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP daripada sebuah agensi tanpa penuhi syarat.
PETALING JAYA: Seorang pengarah sebuah agensi di bawah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes membabitkan pemeriksaan kenderaan perdagangan.

Sumber memaklumkan pengarah tersebut antara lapan suspek yang ditahan hari ini, dalam Op Loader yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di beberapa lokasi di sekitar Melaka dan Lembah Klang.

Katanya, semua yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Syarikat-syarikat ini dipercayai bersekongkol dengan pegawai-pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan,” katanya.

Katanya lagi, pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan dan Surat Kelulusan Lanjut Usia bagi membolehkan kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan awalan Puspakom.

Berdasarkan risikan SPRM, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 sehingga RM20,000 bergantung pada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat-syarikat yang ingin memperolehi LKP itu, katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi proses permohonan reman.

13 pemeriksa ditahan

Sementara itu, 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.

Mereka ditahan semalam dan hari ini ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Penahanan ini susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu, dan juga hasil soal siasat SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada ‘runner’ sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas,” katanya.

SPRM sehingga hari ni telah menahan 22 suspek, termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua ‘runner’.

Khusairi mengesahkan penahanan tersebut. Katanya, 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan semalam dan hari ini akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM.

Tiada ulasan: