"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mahir cinta 3 segi, mahu menari bersama Bersatu dan Umno

FMT Reporters
Pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 menyertai himpunan di Putrajaya untuk menyatakan solidariti kepada Najib Razak, Isnin lalu.
PETALING JAYA: Tindakan PAS cuba memulihkan hubungan dengan Umno, pada masa sama tetap berpaut dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu menunjukkan parti Islam itu begitu mahir bermain ‘cinta tiga segi’, kata penganalisis.

Merujuk tindakan pemimpin dan ahli PAS yang turun ke jalanan bersama lebih 3,000 penyokong ‘Bossku’ di Putrajaya Isnin lalu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata parti pimpinan Hadi Awang cuba ‘menari dengan kedua-dua pasangan serentak’.

“PAS nampaknya mahir dalam tarian politik. Situasi ini seperti drama cinta tiga segi. Mahu kekal bersama Bersatu dalam PN tetapi cuba pulihkan hubungan dengan ‘kekasih’ lamanya Umno.

“Kisah PAS semakin menarik,” katanya yang mendakwa hubungan PAS dan Bersatu mula tegang apabila parti itu membuat gerakan sulit bersama Umno. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan gerakan itu.

Umno dan PAS yang berseteru sejak sekian lama mencatat sejarah politik tanah air apabila bekerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) selepas dua parti itu kalah pada PRU 2018. PAS kemudian membentuk PN bersama Bersatu dan meninggalkan Umno serta MN ketika krisis politik 2020.

Zaharuddin turut menjangkakan drama politik negara tidak akan berkesudahan dengan wataknya akan sentiasa berubah mengikut keadaan.

“Kesatuan politik terbentuk dan pecah dengan pantasnya, dan plotnya sentiasa mengejutkan,” katanya.

Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang menyertai himpunan di Putrajaya untuk mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib Razak menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat dalaman kepada parti membuat seruan kehadiran ahlinya bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong.

Antara pemimpin PN yang hadir ke himpunan itu adalah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Takiyuddin yang turut menjadi peguam pemerhati bagi kes rayuan berkenaan.

Bagaimanapun, Hadi dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak kelihatan pada perhimpunan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi kemudian menempelak dua parti itu sebagai ‘bercelaru’ dan cuba memanipulasi isu titah adendum tahanan rumah ‘Bossku’.

Presiden Amanah Mohamad Sabu juga tidak menolak kemungkinan PAS akan membuang ‘Bossku’ memandangkan fatwa parti itu sentiasa berubah.

Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu berkata beliau menjangkakan perkara itu berdasarkan pengalamannya yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS selama 37 tahun termasuk timbalan presiden, sebelum keluar parti untuk membentuk Amanah.

Umno gajah luka masih cuba menari

Zaharuddin berkata, Umno yang ditubuhkan pada 1946 pernah dianggap sebagai parti terlalu besar untuk gagal, namun kini ibarat ‘gajah yang luka’.

Beliau mendakwa, keahlian parti Melayu itu semakin berkurangan, terutama selepas skandal 1MDB, namun masih cuba berpaut dengan PAS mahupun ‘menari’ sendirian.

“Pertarungan dalaman Umno sendiri menjadi tontonan menarik. Ada yang mahu parti itu bertaubat dan membersihkan imejnya, ada pula yang masih berpegang kepada cara lama.

“Perpecahan ini menjadikan Umno semakin lemah, membuka ruang untuk parti lain mengambil tempat mereka,” katanya.

Tiada ulasan: