"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wayang politik zaman edan

A Kadir Jasin

Saya mulakan dengan memetik cakap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim November lalu yang berbunyi: "Ini dikatakan zaman edan, separuh gila."

Tetapi jangan bimbang dan jangan risau, zaman ini masih siuman dan undang-undang terus lancar kalau anda seseorang miskin papa kedana dan jenayah anda sekadar mencuri Milo, roti bengali atau motosikal tua.

Tidak akan ada peguam tersohor membela anda dan tidak ada siapa pun akan bersusah payah membuat perintah adendum untuk anda.

Semua itu tidak perlu kerana anda bukan bangsawan yang memiliki emas bekoyan-koyan. Anda sekadar adendum (sampingan) yang hanya berguna ketika pilihan raya.

Yang menyebabkan keedanan ini adalah orang ternama yang mencuri berpuluh-puluh juta. Yang jadi "king" sebab mereka ada "cash". Yang kepercayaannya adalah duit itu raja. Dalam golongan itulah duduknya Najib Razak.

Dan, seperti telah saya katakan berulang kali, Najib ini bukan orang sebarangan dan jenayahnya bukan mencuri Milo, roti bengali atau ragut beg tangan.

Maka tidak mengejutkan kalau semalam Mahkamah Rayuan membenarkan dia mengemukakan "bukti baru" bersabit apa yang disebut sebagai "Perintah Adandum". Daripada tiga orang hakim, dua bersetuju, seorang tidak.

Menurut laporan media massa arus perdana, mahkamah membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman (judicial review) bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Sultan Abdullah pada hari-hari terakhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perintah itu (kononnya) supaya Najib menghabiskan hukuman penjara kes SRC International di rumah.

Mahkamah yang dipengerusikan oleh hakim Azizah Nawawi memutuskan agar kes ini dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman. Azizah sendiri memberikan keputusan menentang rayuan Najib itu.

Itu yang berlaku dalam mahkamah. Tidak ada drama. Yang banyak lakunan adalah di luar mahkamah.

Ada yang bersolidariti dengan Najib walaupun merekalah yang bertanggungjawab memulakan kempen yang akhirnya menyumbatnya ke dalam penjara.

Atas nama Melayu-Islam, mereka menggunakan "Perintah Adendum" sebagai alasan untuk mengasak dan menggasak kerajaan Malaysia Madani, khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Rasanya, mereka pun tahu orang ramai tahu matlamat sebenar mereka. Kesudahannya, menurut laporan sesetengah saluran berita, tidak sampai 1,000 berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam .

Namun sedikit sebanyak mereka telah berjaya menggambarkan Anwar dan kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sebagai mengingkari perintah Raja dan, dengan yang demikian, telah melakukan penderhakaan. Kalau tuduhan ini terbukti, kedudukan Anwar goyah.

Ini tidak baik bagi Anwar dan kerajaan Perpaduan Malaysia Madani kerana beliau sendiri tidak putus-putus menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong keabsahan kerajaannya.

Yang mengangkat beliau menjadi perdana menteri adalah Sultan Abdullah. Yang membuat perintah adendum itu pun Baginda juga.

Tetapi Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim, telah bertitah iaitu semua banduan yang hendak merayu pengampunan, termasuk Najib, perlu memohon kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang Baginda adalah pengerusinya.

Saya akhiri catatan ini dengan mempersembahkan bait kedua syair "Serat Kalatidha" (Surat Zaman Gila) karya pujangga Jawa, Ronggo Warsito:

"Raja yang tengah berkuasa adalah raja utama,

perdana menterinya pun seorang yang terpilih,

para menteri juga bercita-cita menyejahterakan rakyat, pegawai aparatnya pun baik-baik,

meski demikian tidak menjadi penolak atas zaman terkutuk ini,

malahan keadaan semakin menjadi-jadi,

berbagai rintangan yang mengganggu.

Berbeda-beda perbuatan angkara orang seluruh negara."

A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tiada ulasan: