"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid dapat izin mulakan prosiding hina mahkamah pada Dr M

Hidir Reduan Abdu Rashid

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhadapan dengan risiko dipenjara dan didenda jika didapati bersalah dalam kes menghina mahkamah.

Ia berikutan kebenaran diberikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk memulakan prosiding ke atas Mahathir.

Ia melibatkan sidang media diadakan Mahathir pada 5 Dis dan dia memberi kenyataan berkenaan kes saman fitnahnya ke atas Ahmad Zahid.

Tindakan sivil yang sedang berjalan itu berkaitan dakwaan kad pengenalan ahli politik veteran berusia hampir 100 tahun itu dikatakan membawa nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Ketika dihubungi petang ini, peguam Ahmad Zahid, Shahrul Fazli Kamarulzaman, mengesahkan bahawa pesuruhjaya kehakiman Gan Techiong telah memberi kebenaran untuk memulakan prosiding tersebut terhadap Mahathir.

Katanya pasukan peguam Presiden Umno itu akan menyerahkan dokumen prosiding menghina mahkamah kepada peguam Mahathir, dan mahkamah sivil akan menetapkan pengurusan kes berhubung perkara tersebut kemudian.

Selepas dokumen diserahkan, Mahathir akan diberi peluang untuk membela diri terhadap dakwaan berkenaan.

Prosiding komited diambil atas dakwaan tindakan atau kenyataan yang berpotensi mengganggu perbicaraan sesuatu kes mahkamah yang sedang berjalan.

Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam Mahathir untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Melalui saman asal, Mahathir mendakwa kenyataan Ahmad Zahid mengenai kad pengenalannya pada 2017 adalah fitnah kerana ia merupakan langkah politik yang jahat, berniat buruk, dan bohong.

Mahathir mendakwa dakwaan itu bertujuan untuk merosakkan reputasinya sebagai tokoh pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Untuk rekod Mahathi - yang merupakan pengerusi Bersatu dan menjadi sebahagian daripada PH - memenangi kerusi Parlimen Langkawi dalam PRU berkenaan sebelum dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Najib Razak.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa dia mengeksploitasi orang Melayu untuk keuntungan politik dan peribadi.

Mahathir juga mendakwa Ahmad Zahid telah menunjukkan salinan kad pengenalan “Kutty” melalui skrin telefon pintar.

Dalam pernyataan pembelaannya, Ahmad Zahid - ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri - menafikan kenyataan pada 2017 itu berniat jahat, fitnah, atau merosakkan reputasi awam Mahathir.

Sebaliknya Ahmad Zahid, 71, mendakwa nama pada kad pengenalan itu merujuk kepada individu berdasarkan salinan lama dokumen pengenalan diri.

Dia juga mendakwa tidak mempunyai kawalan ke atas video-video yang diterbitkan di platform media selepas kenyataannya dikeluarkan.

Tiada ulasan: