FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Langat Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor dari klinik di kawasan Bandar Saujana Putra pada 3.29 petang, Jumaat lepas mengenai seorang bayi lelaki dibawa oleh pengasuh taska tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bayi tersebut tiba dalam keadaan pucat, bibir dan kaki kebiruan, tanpa nafas serta tiada tindakan balas pada anak mata.
“Pengadu segera melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sebelum ambulan tiba,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Mohd Akmalrizal berkata, bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada 5.05 petang selepas usaha menyelamatkan selama lebih 30 minit gagal.
Katanya, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011 dan keterangan pengusaha serta pekerja taska telah diambil, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Siasatan awal mendapati taska tersebut tidak berlesen dengan permohonan lesen belum diluluskan, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan