"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pendatang jadi 'majikan' di Jalan Petaling kena tahan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
ANGGOTA JIM Kuala Lumpur menyerbu kedai di Jalan Petaling yang dikendali pendatang asing. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
ANGGOTA JIM Kuala Lumpur menyerbu kedai di Jalan Petaling yang dikendali pendatang asing. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
Kuala Lumpur: Pendatang asing tanpa izin (Pati) jadi 'majikan' dikesan semakin berleluasa di kawasan 'syurga' barang tiruan, Jalan Petaling, di sini dan dipercayai berniaga atas lesen 'ali baba'.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff ketika operasi penguatkuasaan oleh pasukan KL Strike Force yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, seramai 77 warga asing diperiksa dan 33 individu disyaki Pati ditahan, manakala empat warga tempatan dikenakan saman.

"Warga asing ini sering bersilih ganti, ada yang kerja sepenuh masa... ada juga secara sambilan dan ada juga yang memiliki perniagaan atas lesen 'ali baba'.

"Kami (JIM) akan salurkan maklumat pemilik gerai yang memegang lesen kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan selanjutnya.
SEBAHAGIAN daripada 33 Pati yang ditahan di Jalan Petaling. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
SEBAHAGIAN daripada 33 Pati yang ditahan di Jalan Petaling. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
"Ini kerana di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), warga asing tidak dibenarkan menjaja," katanya pada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi yang bermula 6 petang tadi.

Wan Mohammed Saupee berkata, kehadiran warga asing yang berniaga secara haram di kawasan itu menjejaskan pendapatan peniaga tempatan yang memegang lesen sah.

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada peniaga tempatan, rata-rata memuji dan menyokong penuh operasi penguatkuasaan berkala oleh JIM di kawasan itu.

"Sepanjang operasi, saya menemubual beberapa peniaga tempatan dan mereka menyokong penuh JIM KL kerana berlaku persaingan yang tidak sihat melibatkan warga asing yang berniaga di sini.

"Warga asing ini kononnya bekerja, namun berdasarkan risikan mendapati mereka sudah menguasai beberapa gerai di sini," katanya.

Menurutnya lagi, antara yang ditahan adalah 26 warga Bangladesh, empat warga Myanmar, Pakistan (2), Nepal (1), dan Mauritius (1), malah mereka didapati memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah, tetapi tidak bekerja di lokasi atau bersama majikan yang didaftarkan.

"Kebanyakannya ada pas bekerja dalam sektor pembinaan, pembersihan dan sektor lain. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Tiada ulasan: