"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis selesai siasat anak menteri kes dakwaan paksa gugur kandungan

Malaysiakini 

Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, kertas siasatan sudah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya (TPR) Isnin lalu, setelah merakam percakapan semua pihak, lapor media.

Katanya, pihak pendakwaan mengarahkan pegawai penyiasat mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut oleh anak menteri berusia di penghujung 20-an itu.

Katanya, siasatan awal mendapati anak menteri itu sudah bernikah dengan wanita itu.

"Kita juga sedang menunggu pengesahan sijil perkahwinan mereka bagi membantu siasatan yang dibuat,” katanya.

Pengadu membuat laporan polis pada 1 Januari lalu dan siasatan dibuat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan ugutan jenayah.

Kelmarin, pemimpin akar umbi Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa seorang anak menteri merogol seorang wanita dan akan membuat laporan polis. 

Dia bagaimanapun membatalkan hasrat itu atas alasan pengadu menarik balik laporan polisnya.

Pada masa yang sama, saluran Telegram pembocor maklumat kontroversi Edisi Siasat berkongsi dakwaan salinan teks laporan polis mendakwa anak menteri itu memaksa seorang wanita menggugurkan kandungannya.

Anak menteri itu juga didakwa cuba menendang perut wanita itu tetapi tidak kena. 

Kandungan dikatakan anak mereka bersama tanpa ikatan pernikahan dan wanita itu mahu lelaki itu bertanggungjawab.

Siasatan tak kira siapa

Sementara itu, Razarudin juga menegaskan bahawa polis tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tidak kira siapa pun.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa polis tidak akan melindungi sesiapa pun yang didapati terbabit dalam apa juga kesalahan meskipun ia membabitkan menteri atau ahli keluarga mereka.

"Siasatan adalah telus dan pihak polis akan menghadapkan mereka yang bersalah ke muka pengadilan," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi lelaki itu dan masih menunggu maklum balasnya.

Tiada ulasan: