FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan sebuah agensi di bawah kementerian kerana dipercayai terbabit amalan rasuah, dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat.
Turut ditahan seorang bekas kakitangan agensi itu, menurut sumber.
Tangkapan ini susulan operasi Op Loader oleh perisikan SPRM pada Rabu lalu, yang mana lapan individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang pengarah agensi sebuah kementerian ditahan.
“Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai-pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat-syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan dan Surat Kelulusan Lanjut Usia bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” kata sumber.
Katanya, berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit.
Ketiga-tiga suspek ditahan petang semalam, ketika hadir di ibu pejabat SPRM bagi rakaman keterangan untuk membantu siasatan, katanya.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek, membabitkan dua wanita dan seorang lelaki, diperoleh hari ini.
Timbalan Ketua Pesuurhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan