"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru didakwa raba 2 murid di ‘rumah hantu’ direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru lelaki direman enam hari selepas disyaki mencabul dua murid perempuan Tahun 6 di dalam ‘rumah hantu’ yang dibuka sempena Hari Karnival Sekolah, semalam.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Md Nazri Zawawi, berkata perintah reman terhadap suspek berusia 43 tahun dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri di Mahkamah Majistret Ayer Keroh berkuat kuasa hari ini hingga 14 Jan.

Katanya, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Paya Rumput, 10.25 malam tadi selepas laporan dibuat guru besar sekolah terbabit di Balai Polis Tanjung Minyak pada 12.48 tengah hari semalam.

“Pengadu berusia 53 tahun menyatakan ketika berada di pejabat sekolah, beliau didatangi dua murid perempuan Tahun 6 dalam keadaan takut dan menangis.

“Kedua-dua murid mendakwa suspek mengajak mereka masuk ke ‘rumah hantu’ yang dibuka di kawasan sekolah sempena Hari Karnival Sekolah pada Sabtu ini.

“Mereka mengikut kerana teruja mencuba tanpa berfikir apa-apa, namun ketika berada di dalam ‘rumah hantu’ itu kira-kira 10 pagi, suspek didakwa meraba kedua-dua murid berkenaan.

“Terkejut dengan kejadian itu, pengadu meminta beberapa guru wanita menenangkan kedua-dua mangsa yang dalam ketakutan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, pengadu dan beberapa guru lain mencari suspek yang masih berada di kawasan ‘rumah hantu’ terbabit dan bertanya mengenai kejadian itu namun suspek menafikannya.

“Guru besar berkenaan segera menghubungi penjaga kedua-dua mangsa dan menceritakan hal itu sebelum membuat laporan polis.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tiada ulasan: