Nicholas Chung
PETALING JAYA: Himpunan solidariti Najib Razak di Putrajaya pada Isnin lalu mendedahkan situasi Perikatan Nasional (PN) yang berada dalam keadaan ‘keliru’, kata dua penganalisis, dengan pemimpin Bersatu kelihatan tidak sehaluan dalam isu itu.
Himpunan diumumkan PAS bulan lalu itu diadakan sempena permohonan semakan kehakiman oleh bekas perdana menteri itu terhadap titah diraja yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Niat PAS dalam menganjurkan acara itu segera dipersoalkan oleh pelbagai pihak, meskipun Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, mendakwa ia mencerminkan populariti Najib yang masih kukuh.
Selepas pengumuman itu, beberapa pemimpin Bersatu menyatakan akan menghadiri acara tersebut, tetapi Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan Mahathir Rais, menolak idea itu dengan mengatakan ia berbau oportunisme politik.
Apabila keputusan rayuan memihak kepada Najib, pemimpin PAS dan Bersatu segera mengkritik kerajaan.
Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan penderhakaan kerana didakwa menyembunyikan adendum tersebut, manakala Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa beliau meletak jawatan.
Sementara itu, pemimpin Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyuarakan sokongan terhadap Najib tetapi menegaskan pendirian PN terhadap isu 1MDB tidak berubah.
Mahathir yang juga Setiausaha PN Wilayah Persekutuan, mendakwa ketiadaan pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Abdul Hadi Awang, di perhimpunan tersebut membuktikan mereka menentang rasuah.
Katanya, kehadiran pemimpin Bersatu dalam himpunan itu adalah atas kapasiti individu.
Muhyiddin, yang menjadi timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Najib pada April 2009 hingga Julai 2015, disingkirkan kerana mengkritik perdana menteri ketika itu dalam isu 1MDB.
Beliau kemudiannya menjadi pengasas bersama Bersatu selepas disingkirkan dari Umno.
PN Tiada Haluan
Penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata kurangnya kepimpinan dalam PN menyebabkan gabungan itu gagal menunjukkan pendirian yang konsisten.
Katanya, Muhyiddin bergelut dengan masalah dalaman Bersatu, yang terbukti melalui pandangan bercanggah dalam kalangan pemimpin parti terhadap isu tahanan rumah Najib.
“Beliau berada dalam dilema kerana beberapa ahli Bersatu menyokong Najib dengan menghadiri himpunan itu. Sekutu mereka, PAS, juga lantang bersuara dan menjadi faktor utama dalam menyokong Najib di PN,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azmi berkata, Muhyiddin mungkin terpaksa berdiam diri bagi mengelakkan konflik dalam PN sama ada beliau menyokong Najib atau sebaliknya.
“Ini terutama melibatkan PAS dan pemimpin Bersatu yang bersetuju dengan PAS mengenai himpunan tersebut,” katanya.
Hamzah, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Wan Fayhsal semua hadir ke himpunan pada 6 Jan lalu itu.
Asrul Hadi Abdullah Sani dari firma penasihat strategik ADA Southeast Asia pula berpendapat Muhyiddin terikat dengan sejarah panjangnya bersama Najib dalam Umno.
“Namun, segala-galanya mungkin dalam politik Malaysia. Jika memulihkan hubungan dengan Najib boleh membawa Muhyiddin kembali berkuasa, beliau akan melakukannya.”
Asrul berkata PN kelihatan tidak mempunyai strategi jelas terhadap Najib, dan matlamat utamanya adalah menggugat kestabilan kerajaan untuk mengambil alih tanpa melalui pilihan raya.
Keikhlasan akar umbi
Azmi mendakwa semua parti politik, termasuk Umno, mengambil kesempatan terhadap isu adendum demi untuk meraih manfaat politik, tetapi mengakui bahawa ada kumpulan tertentu, khususnya di peringkat akar umbi, yang ikhlas.
Ini kerana Najib masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno dan dalam kalangan pengundi Melayu, katanya.
Azmi berkata pemimpin Umno mahu menunjukkan kepada akar umbi bahawa mereka masih berusaha mencari keadilan untuk bekas presiden itu.
“PAS dan Bersatu pula cuba menunjukkan bahawa mereka lebih mengambil berat terhadap Najib (berbanding Umno). Ini bagi mendapatkan manfaat politik dalam kalangan penyokong Umno.
“Tidak dinafikan ada kumpulan yang ikhlas berjuang untuk Najib, tetapi kebanyakannya berjuang untuk mendapatkan manfaat politik,” katanya.
Asrul juga menjangkakan Presiden Umno Zahid Hamidi berasa ‘kurang selesa’ dengan kemungkinan Najib dibebaskan awal, yang boleh menggugat kedudukannya.
Katanya, himpunan itu, yang menarik 3,000 peserta walaupun Umno menarik diri pada saat akhir, turut membimbangkan Anwar dan Zahid.
“Bayang Najib masih menghantui mereka walaupun selepas dua tahun memegang jawatan. Sementara itu, PN cuba mencungkil kelemahan dalam gabungan kerajaan persekutuan dengan menggunakan Najib sebagai alat.
“Masih menjadi persoalan sama ada PN dan Barisan Nasional akan mempertimbangkan untuk membentuk kerajaan persekutuan, namun Zahid pasti akan berdepan tekanan sekiranya Najib dibenarkan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan