"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sindiket mencuri dalam pesawat, lagi lelaki warga China ditahan

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Polis menahan lelaki warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini kerana disyaki mencuri barangan milik penumpang pesawat komersial.

Suspek berusia 54 tahun itu juga disyaki ahli sindiket daripada penahanan tiga lelaki yang terbabit kes kecurian dalam pesawat, pada hujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada wanita warga Australia berusia 44 tahun yang datang bercuti ke negeri ini.

Katanya, mangsa mendakwa kad kredit miliknya cuba dicuri ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

"Susulan itu, suspek yang juga warga China ditahan ketika kejadian dan akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata, polis percaya suspek terbabit ahli sindiket daripada tiga individu warga China yang ditahan berkaitan dengan kes kecurian dalam pesawat pada November dan Disember lalu di sini.

"Bagi kes berkenaan, kesemua tertuduh dari Hunan, China yang berusia 51 hingga 61 tahun itu ditahan ketika kejadian dan sudah didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau," katanya.

Tiada ulasan: