"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada kemungkinan pegawai kanan polis lenyek pelajar, kata saksi

Bernama

Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin dari Miros berkata kereta Perodua Ativa mengekori terlalu rapat motosikal ditunggang mangsa tanpa jarak selamat.
IPOH: Mahkamah Tinggi diberitahu pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie berkemungkinan telah dilenyek kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai kanan polis ketika perlanggaran berlaku, pada 15 Dis 2023.

Ketua Unit dan Penganalisa Kemalangan Prinsipal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, 42, berkata pelanggaran pertama antara Perodua Ativa dan motosikal berlaku di luar lingkungan penglihatan kamera papan pemuka.

“Namun, rakaman itu menunjukkan pergerakan sesaran menegak oleh Perodua Ativa, sejurus selepas perlanggaran pertama.

“Justeru, berdasarkan lokasi penunggang motosikal jatuh di bahagian tengah hadapan Perodua Ativa (kedudukan penunggang jatuh di laluan pergerakan Perodua Ativa), berkemungkinan Perodua Ativa berkenaan telah melenyek penunggang motosikal yang jatuh tersebut, manakala motosikal yang berada dalam keadaan berbaring telah terbabas ke arah kanan (ke arah seberang jalan),” kata saksi pendakwaan ke-31 itu.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Mohd Nazri Abdul Razak, 46, pegawai polis berpangkat deputi superintendan yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Ahmad Noor Syukri berkata, daya perlanggaran terbabit mengakibatkan motosikal terjatuh ke sebelah kiri dan menyebabkan mangsa jatuh di bahagian tengah hadapan Perodua Ativa.

Beliau yang berkhidmat di penyiasatan dan pembinaan semula kemalangan Miros selama 17 tahun, berkata penyiasatan di kawasan kemalangan pula telah menemukan kesan minyak di bahagian seberang dari titik perlanggaran, iaitu konsisten dengan lokasi kedudukan akhir motosikal seperti dalam rakaman video kamera papan pemuka.

“Penyiasatan di kawasan kemalangan juga tidak menemukan sebarang kesan brek daripada kedua kenderaan.

“…yang membuktikan bahawa tiada tindakan membrek yang drastik dilakukan oleh kedua-dua pemandu dan penunggang sejurus sebelum perlanggaran pertama berlaku,” katanya.

Selain itu, beliau berkata daripada pengumpulan data dan analisis dijalankan oleh pasukan Miros, pelanggaran pertama dalam bentuk pelanggaran dari belakang berlaku dalam keadaan Perodua Ativa sedang mengekori terlalu rapat motosikal berkenaan tanpa jarak selamat.

“Kelajuan purata pada jarak lebih kurang 50m sebelum ‘point of impact’ (tempat pelanggaran) bagi Perodua Ativa adalah 89.76km/j, manakala motosikal adalah 94.92 km/j,” katanya.

Sementara itu, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, beliau meminta Ahmad Noor Syukri menjelaskan maksud dua situasi membolehkan perlanggaran pertama berlaku seperti dalam pernyataan.

Ahmad Noor Syukri berkata, analisis situasi pertama lebih tepat iaitu Perodua Ativa terus bergerak dalam kelajuan yang konsisten, manakala motosikal memperlahankan kenderaan ketika menghampiri ‘point of impact’.

Beliau memilih situasi pertama berbanding situasi kedua iaitu motosikal bergerak dengan kelajuan konsisten manakala Ativa memecut ketika menghampiri ‘point of impact’ selepas membaca laporan ‘Event Data Recorder’ (EDR) disediakan pihak Perodua di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun, peguam M Athimulan mengemukakan bantahan laporan dibuat pasukan penyiasat Miros di bawah Seksyen 399 Kanun Acara Jenayah dengan menyatakan bahawa keterangan saksi adalah berdasarkan pakar dan bukannya fakta.

Hakim Bhupindar Singh membenarkan laporan itu ditanda sebagai eksibit dan meminta kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan masing-masing pada akhir kes pendakwaan berhubung perkara itu.

Perbicaraan bersambung esok.

Tiada ulasan: