Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad mendedahkan perbualan yang didakwanya pernah berlaku antara anaknya dan anak Abdullah Ahmad Badawi, yang menyebut anak perdana menteri kelima negara itu dikatakan menyatakan niat untuk menggunakan kedudukan bapanya bagi mengaut kekayaan.
Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, bekas perdana menteri itu mengaku dia terkejut dengan pendedahan tersebut.
“Mereka (pengganti saya) percaya bahawa semasa saya menjadi perdana menteri, saya menyalahgunakan kuasa dan korup. Anak Abdullah beritahu anak saya, ‘Giliran awak sebelum ini, sekarang giliran kami.’ Giliran untuk apa? Untuk mencuri wang. Saya terkejut,” katanya.
Mahathir meluahkan rasa kesal bahawa pemimpin-pemimpin tersebut lebih memandang kedudukan perdana menteri sebagai peluang untuk mengaut kekayaan, bukannya untuk memimpin dan membangunkan negara.
“Ketika itu, saya kesal kerana meletakkan jawatan sebagai perdana menteri (pada 2003),” tambahnya.
Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, berkongsi pendedahan ini dalam sebuah podcast yang dihoskan oleh bekas menteri Idris Jala dan anaknya, Leon. Dia hadir bagi membincang topik tentang pemilihan pengganti.
Kekecewaan terhadap Najib
Ahli politik veteran yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 tahun itu berkata, dia pada mulanya gembira apabila Najib Razak menggantikan Abdullah pada 2009.
Mahathir, yang berperanan penting dalam kempen menumbangkan Abdullah selepas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Umum 2008, berkata, “Ketika Najib mengambil alih, saya sangat gembira. Dia adalah anak kepada bekas perdana menteri yang cemerlang (Abdul Razak Hussein). Saya fikir dia akan melakukan yang terbaik. Tetapi kamu pun tahu apa yang terjadi,” katanya merujuk kepada skandal 1MDB dan peranannya dalam menjatuhkan Najib.
Dengan nada penyesalan, Mahathir berkata bahawa mungkin dirinya tidak sepatut meletakkan jawatan selepas 22 tahun di tampuk pemerintahan.
“Tetapi jika saya teruskan, saya tidak akan tahu kesilapan yang berlaku. Saya tidak akan tahu jenis watak yang menggantikan saya. Ia adalah keputusan sukar buat saya. Namun, secara umumnya, seorang pemimpin mesti bersedia untuk berundur walaupun ketika di puncak,” katanya.
Kritik terhadap Najib dan slogan “Bossku”
Menjawab soalan lain, Mahathir turut mengkritik sikap Najib terhadap akauntabiliti, terutamanya melalui slogan “Nak malu apa Bossku”.
“Rasa malu di kalangan orang Jepun sangat kuat, dan itu amat penting. Kamu patut rasa malu jika gagal atau melakukan kesalahan.
“Tetapi Najib kata, ‘Nak malu apa Bossku’. Bagi saya, itu sangat buruk,” katanya.
NEP dan masa depan Bumiputera
Ketika membincangkan soal keistimewaan dan tindakan afirmatif untuk bumiputera, Idris mencadangkan bahawa sudah tiba masanya dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihentikan.
Mahathir membalas dengan analogi “tongkat” yang terkenal, menjelaskan bahawa perubahan mesti dilakukan secara beransur-ansur – daripada tongkat kepada tongkat kecil sehingga mampu berdiri sendiri. Dia memberi amaran bahawa jika tongkat itu dirampas secara tiba-tiba, ia akan menyebabkan kejatuhan.
“Saya akui DEB tidak sepatutnya kekal selama-lamanya. Ia perlu dihentikan secara beransur-ansur. Tetapi kamu perlu memahami pencapaian DEB.
“Dalam pendidikan, kita sudah mencapai banyak perkara. Dalam perniagaan, masalahnya adalah perbezaan budaya dan sistem nilai. Mengubah sistem nilai memerlukan masa,” jelasnya.
Mahathir turut menegaskan bahawa walaupun kini terdapat ramai usahawan bumiputera yang berjaya, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menyaingi masyarakat Cina yang mempunyai sejarah 4,000 tahun dalam perniagaan.
“Saya rasa malu untuk mempertahankan bahawa orang Melayu dan bumiputera bergantung kepada apa yang dipanggil keistimewaan.
“Ia bukan keistimewaan; ia adalah tindakan afirmatif untuk membantu mereka mengejar,” tambahnya.
Perbandingan dengan Lee Kuan Yew
Menjawab soalan tentang perbandingan antara dirinya dengan mendiang Lee Kuan Yew, Mahathir memuji perdana menteri Singapura itu sebagai seorang “peguam yang cemerlang dan pemikir hebat” tetapi juga menggambarkannya sebagai seorang “kiasu” (takut untuk kalah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan