FMT Reporters
Lori tangki minyak sawit itu disyaki terbabas dengan kemalangan akibat empat mangsa cedera.
Kepulan asap tinggi susulan lori tangki minyak sawit terbabas lalu melanggar dua kenderaan lain di Kuala Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Lori tangki membawa minyak sawit dan dua kenderaan lain terbakar dalam nahas di Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata kejadian kira-kira 2 petang itu melibatkan tujuh mangsa berusia tiga hingga 68 tahun, dengan empat daripada mereka cedera, manakala tiga lagi selamat.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.19 petang sebelum menggerakkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Kuala Selangor.
“Kebakaran melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori tangki membawa minyak sawit yang terbakar 80%.
“Dua lagi kenderaan yang terlibat adalah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard terbakar 20% dan kereta jenis Proton Saga terbakar 90%,” katanya menurut Bernama.
Ahmad Mukhlis berkata, pemandu lori tangki tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher, manakala dua lelaki dewasa menaiki MPV cedera ringan, dan seorang wanita serta kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan sama selamat.
“Pemandu Proton Saga pula mengalami kecederaan di bahagian kepala serta badan dan semua yang cedera dikejarkan ke Hospital Tanjung Karang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, kemalangan berpunca daripada lori tangki yang terbabas dan melanggar dua kenderaan sebelum menyebabkan kebakaran.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan lori tangki minyak terbakar yang turut melibatkan kenderaan lain dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan