"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cubaan menafi?: Mana ada retak, PAS-Bersatu senada bela nasib Najib'

Haspaizi Zain

Bersatu tidak ada masalah dengan tindakan PAS yang dilihat agresif memperjuangkan titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pendirian pemimpin PN berhubung skandal 1MDB tetap konsisten walaupun hadir himpunan solidariti Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin lalu.

Katanya, pemimpin PAS dan Bersatu berhimpun di Istana Kehakiman kerana isu titah diraja membabitkan kepentingan awam.

"Saya kira tiada isu soal hubungan antara PAS dan Bersatu kerana himpunan yang disertai pemimpin PN ini tiada kaitan dengan Najib sebagai ahli politik Umno, tetapi lebih kepada nasibnya dan usaha menuntut kerajaan bertanggungjawab atas ‘ketidakjujuran’.

"Kerajaan hampir setahun berdolak-dalik mengenai kewujudan (titah adendum).

“Pendirian kita pemimpin PN berkisar pada prinsip keadilan dan menjunjung institusi diraja.

“Kehadiran kami didorong keprihatinan lebih luas terhadap kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang, semua senada dalam hal ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan PAS yang dilihat agresif memperjuangkan isu Najib jika ia akan memberi kesan terhadap hubungan parti itu dengan sekutunya Bersatu.

PAS sebelum ini mengeluarkan arahan mengerahkan ahlinya supaya menghadiri himpunan solidariti Najib di Putrajaya, Isnin lalu.

Ini meskipun Umno membatalkan himpunan solidariti berkenaan susulan kenyataan media dikeluarkan Istana Negara serta nasihat ketua polis negara.

PAS memutuskan untuk meneruskan himpunan itu bagi mendapatkan kepastian berhubung kewujudan titah aendum.

Mahkamah Rayuan Isnin lalu membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Titah tambahan itu membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz (gambar bawah) berkata hubungan partinya dengan PAS masih seperti sediakala kerana masing-masing berhimpun bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

"Kenapa perlu ada masalah, sama sahaja, kedua-dua parti berhimpun bagi menjunjung titah Agong, tak ada isu. Cuma PAS yang menganjurkannya.

"Kenapa himpunan ini dijalankan, kerana titah adendum yang tak dijunjung kerajaan hari ini.

"Jadi, tak ada isu berbangkit. Ini matlamat yang sama bagi Bersatu dan PAS, menjunjung titah dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan...

“Yang berbeza hanya Umno saya rasa, ada Umno ori dan Umdap," katanya.

Tiada ulasan: