FMT Reporters
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu tidak menolak kemungkinan PAS akan ‘membuang’ bekas perdana menteri Najib Razak memandangkan fatwa parti itu sentiasa berubah.
PAS kini dilihat di belakang bekas presiden Umno itu dalam isu titah adendum susulan kehadiran ramai pemimpin serta ahlinya dalam perhimpunan di Istana Kehakiman, Isnin lalu.
Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu berkata beliau menjangkakan perkara itu berdasarkan pengalamannya yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS selama 37 tahun termasuk timbalan presiden, sebelum keluar parti untuk membentuk Amanah.
Dakwanya, sepanjang dalam parti itu beliau diajar perbezaan dengan Umno bukan setakat dalam politik tetapi akidah termasuk mengkafirkan Umno dan beliau hanya solat di Masjid Rusila atau Masjid Batu Enam ketika berada di Terengganu kerana solat berimamkan ahli Umno adalah haram.
Namun katanya, pada 2013 dan 2014 mereka dapat menghidu pertemuan segelintir ‘ustaz PAS’ dengan Umno sehingga timbul pengakuan dakwaan mereka menerima wang disusuli kekalahan kumpulan aktivis serta profesional di tangan kumpulan pro Umno terbabit pada Muktamar ke-15 di Kuala Selangor.
Menurutnya, PAS turut memutuskan hubungan dengan DAP dan selepas itu menuduh parti itu komunis serta hendak tubuh negara kristian sedangkan ketika kerjasama formula digunakan adalah ‘agree to disagree’ (bersetuju untuk tidak bersetuju).
“Paling mengejutkan, selepas PAS berpisah dengan DAP dan Keadilan, PAS bersama pula dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN). Pemimpin PAS mengatakan hubungan baru PAS-UMNO ini adalah anugerah Allah.
“Banyak sudah bukti bahawa fatwa PAS boleh diubah sesuka hati demi untuk menghalalkan sesuatu tindakannya.
“Begitulah juga bila hari ini PAS menyatakan sokongan kepada Najib, ini hanyalah sandiwara menarik sokongan Melayu. Tidak mustahil suatu hari nanti, PAS akan membuang Najib jika beliau tidak lagi menguntungkan politik PAS,” katanya di Facebook.
Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang menyertai himpunan di Putrajaya untuk mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib memulakan prosiding itu selain mengemukakan bukti baharu apabila merit kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat dalaman kepada parti membuat seruan kehadiran ahlinya bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan